Thursday, November 22, 2007

secantik bunga seindah wanita

Mulianya menjadi seorang wanita ......



Sering sekali kita mendengar di kalangan masyarakat kita kata-kata bahawa wanita itu
mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Kita tidak pasti dari mana kata-kata ini diambil.
Yang pastinya Al-Qur'an dan As-Sunnah tidak menetapkan begitu. Kata-kata ini seolah-olah menggambarkan bahawa wanita itu kurang 80 peratus akalnya berbanding lelaki padahal ini bukan hakikatnya. Wanita juga seolah-olah begitu kuat bernafsu berbanding lelaki dari kata-kata ini. Jika benar kata-kata ini tentulah wanita yang merogol lelaki dan bukan sebaliknya.Memang terdapat hadith Nabi saw yang sahih yang menyebut tentang kekurangan akal wanita berbanding lelaki. Nabi saw bersabda dalam hadith dari Abi Sa'eed Al-Khudriyy r.a yang menceritakan : Nabi saw keluar pada hari `Iid Al-Adha atau Al-Fitr** ke tempat solat.Kemudian baginda lalu di hadapan para wanita lalu berkata: Wahai kaum wanita, bersedekahlah kerana sesungguhnya aku melihat bahawa kebanyakan ahli neraka adalah dari kalangan kamu (wanita). Maka para wanita itu bertanya: "Mengapa wahai Rasul Allah," Nabi saw berkata: "Kamu suka melaknat dan kamu kufur (tidak berterima kasih) kepada suamimu. Aku tidak pernah melihat sesiapa yang lebih kurang akalnya dan agamanya berbanding kamu. Seorang lelaki yang waras boleh dipesongkan oleh kamu." Maka para wanita itu bertanya: "Apakah kekurangan akal kami dan agama kami wahai Rasul Allah ?"Nabi saw bersabda: "Bukankah kesaksian wanita itu menyamai separuh kesaksian lelaki ?"Maka para wanita itu menjawab: "Ya" Lalu Nabi saw menyambung lagi: "Maka itulah kekurangan akalnya. (Dan) bukankah bila wanita itu datang haidh dia tidak solat dan tidak berpuasa?""Para wanita menjawab: "Ya." Maka Nabi saw berkata: Maka itulah kekurangan agamanya."
[Sahih Al-Bukhari, Kitaab Al-Haidh]



Imam Ibn Hajar yang mensyarahkan hadith ini menyebut bahawa terdapat juga wanita yang
lebih pandai berbanding lelaki dan perkara ini kita semua sedia maklum akan kebenarannya.
Malah Allah swt merakamkan kisah pemerintah Saba' yang merupakan seorang wanita yang
bijaksana dalam Suurah An-Naml ayat 22 hingga 44. Para isteri Nabi saw juga adalah tokoh-tokoh yang bijaksana dan mahir dalam hukum-hakam agama. Mereka itu mengajar para
sahabat Nabi saw dari kalangan lelaki dan nasihat-nasihat mereka sering diambil oleh Nabi saw dalam pelbagai problematika kehidupan..