Saturday, July 12, 2008

Jejak Sufi




MENJEJAKI MAQAM AHLI KELUARGA RASULULLAH SAW DI MESIR
Oleh
Yang Mengharap KeampunanNya
Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi


MUQADDIMAH setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah yang mana dengan taufiq dan inayahNya maka dapat saya menyudahkan menulis buku ini yang saya namakan “Menjejaki Maqam Ahli Keluarga Rasulullah SAW di Mesir”.

Telah lama saya berhajat untuk menampilkan kitab seumpama ini sebagai panduan dan petunjuk buat umat Islam yang tercari-cari pedoman untuk menziarahi maqam dalam konteks menjejaki susur galur keturunan Rasulullah S yang ada di Mesir khususnya.

Saya telah menjadikan bahan rujukan utama dalam menghasilkan buku ini menerusi sebuah kitab sejarah karangan ulama’ besar Mesir, Al ‘Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim al Husaini . Kitab beliau yang asalnya berbahasa Arab yang bertajuk “Maraqid Ahli al Bait fi Kaherah” telah menerangkan kedatangan ahli keluarga Rasulullah S ke Mesir dengan hujah-hujah dan pendapat yang sohih lagi bernas. Semoga Allah merahmati beliau.

Kitab ini juga saya ke hadapankan sebagai santapan mata, zahir dan batin buat para pembaca, agar dapat mengenali secara lebih dekat sejarah perjalanan dan liku-liku kehidupan yang ditempuhi oleh ahli keluarga Rasulullah SAW di Mesir.

Ketahuilah! Sesungguhnya menziarahi maqam adalah pekerjaan yang mulia, lebih-lebih lagi maqam para kekasih Allah. Selaku umat yang mengaku menjadi ahli kaum Sunnah, kita adalah bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan amalan yang terpuji ini dari dihapuslenyapkan dengan kebinasaan yang dibawa oleh perasaan hasad dan dengki musuh-musuh Islam yang mendakwa ia perbuatan syirik dan bid’ah yang sesat.
Ada empat kategori tempat ziarah yang dimuliakan dalam Islam iaitu dorih, maqam, maqwi dan mahal. Dorih membawa maksud bahawa jasad individu yang dimuliakan Allah seperti Rasulullah SAW dan para sahabatnya sememangnya dikebumikan di tempat berkenaan. Maqam pula membawa maksud bahawa jasad individu itu tidak semestinya dikebumikan di tempat berkenaan tetap beliau pernah menziarahi tempat berkenaan ketika hayatnya.

Maqwi pula bermaksud tempat seperti gua Ashabul Kahfi manakala mahal pula bermaksud tempat bersejarah yang dikaitkan dengan sesuatu peristiwa penting dalam agama Islam seperti medan peperangan Badar di Makkah. Bagaimanapun penggunaan maqam dipergunakan secara umum untuk dorih dan maqam.

Sebagai hambaNya yang kerdil, saya tidak mampu menghindari daripada mempunyai kelemahan dan melakukan kesilapan melainkan dengan pertolongan dan keizinan daripadaNya. Oleh itu, saya dahulukan dengan pohonan maaf sekiranya terdapat mana-mana kekurangan mahupun kesilapan yang menyulitkan kefahaman para pembaca sepanjang menghayati teks yang terkandung dalam kitab ini. Saya dengan rendah hati, mengalu-alukan sebarang teguran dan cadangan daripada pembaca agar yang silap dapat diperbetulkan dan yang lemah dapat diperbaiki.

Kesimpulannya, persembahan kali ini lebih baik dan kemas terutama dalam bahagian kandungan kerana saya telah membuat beberapa penambahan dalam beberapa tajuk dan menterjemahkan beberapa manaqib yang sebelum ini, tidak saya terjemahkan, di samping memasukkan tokoh-tokoh ahli keluarga Rasulullah SAW yang lain.

Hanya inilah sahaja setitis bakti yang termampu kupersembahkan buatmu. Ya Rasulullah S. Biarpun kutambah dengan jutaan lagi ungkapan kasih dan penghargaan buat khazanah berharga, ahli keluarga, zuriat peninggalanmu, nescaya masih juga tidak dapat menandingi akan kasihmu terhadapku dan seluruh umatmu. Walau kupenuhi usiaku berkhidmat buat ahli keluargamu, tetap tidak memadai untuk kudakwa ia sebagai balasan di atas nikmat dan rahmat Ilahi yang kami terima melaluimu.

Justeru itu saksikanlah, dengan terhasilnya kitab ini sebagai hadiah yang tidak seberapa dariku, moga Engkau berkenan menyambut huluran tanganku di hari Kebangkitan kelak agar aku termasuk di kalangan ummatmu yang bertuah dan beroleh syafaatmu serta redha daripada Tuhanmu.



Dikeluarkan oleh
Yang Mengharap KeampunanNya
Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi



Muqaddimah afifzahrah

Penulisan kali ini afifzhrah ingin membawa kalian mengetahui ahli-ahli bait yang ada di bumi yang penulis ketika ini berada dalam negaranya yang penuh barakah.Penulis telah mengambil isipadu ceritanya daripada penulis di atas yang merupakan sahabat terbaru yang baru kenal.Walaupun penulisan ini telah dibukukan, tapi semangat dalam dakwah maya eloklah penulis mengambilnya untuk dikongsi bersama untuk dakwah Islamiah.Penulis dah dapat kebenaran daripada penulis asal untuk mengambil isinya.Inilah dkira dakwah yang berterusan bukan mengejar habuan dunia sahaja.
Penulis pun tidak sangka juga kerana dapat mengenal penulis ini walaupun dalam tempoh yang singkat.Ini berikutan kehadiran beliau pada penghujung bulan 6 baru-baru ini.Penulis merasakan bertuah dan bersyukur kerana dapat bertemu dengan penulis atau penyusun buku ini.Penulis ini dikatakan aktivis islam dan pendakwah yang sudah banyak mengumpul penulisan kitab hampir 6 buah kitab ketika mana beliau masih berada di Mesir lagi.Penulis juga tertarik dengan pembawakan buku yang pernah dibaca iaitu salah satu kitab iaitu 'Mendekati para ulama' dan menjejaki para Wali Allah di Mesir'.Ada 2 buah kitab yang sempat penulis asal ini telah menghadiahkan kitabnya kepada afifzahrah.Rasanya amat bertuah dan girang sekali.Sebagai menghargai penulisan beliau rasanya terdetik hati ini untuk membalas jasa beliau dan mempromosi buku beliau yang mana saya kira ada di pasaran.
Penulis berkeyakinan dan bertegas dan menghormati "hakcipta terpelihara" penulisan beliau dan apa-apa yang dkeluarkan dalm blog ini, maka eloklah sekiranya meminta kebenaran daripda penulis asal.Afifzahrah cuma mengulas dan mengetengahkan sahaja.Lantaran terlalu gemira,seronok dan bertuah berada di Mesir ini maka disiapkan penyusunanannya sahaja.Segala yang baik dikira Allah sebgai ganjaran dan yang kurang dan kesalahan penulis memohon keampunan kepada Allah Rabbul Izzati.Moga-moha penulisan ini dikira satu amal agar ianya ampuh dalam memberi kekuatan kepada umat Islam dalam menegakkan agam Allah waluaupun usaha itu kecil,tapi ganjaran Allah maha kaya.Wallahua'lamuwaantum la talamun..Moga bertemu lagi.Wassalam.
Kali ini penulis membawa cerita sedikit sebnyak tentang cucu Nabi kita Muhammad SAW yang baginda sagat sayang sekali iaitu Saidina Husin dan Saidina Hasan.Tapi Maqam Saidina Husin berda di Medan Saidina Husin di Kota Kaherah yang berhampiran sangat dengan Masjid Al-Azhar dan berhampiran juga tempat penulis ini belajar.Maka dibawah diceritakan manaqib Saidina Husin bin Ali Karammalahuwajhu.


Manaqib Sayyiduna Husain ibn Ali ibn Abu Tolib

Nama dan Keturunannya

Nama beliau ialah Husain. Ayahandanya bernama Sayyiduna Ali ibn Abu Tolib . Bondanya bernama Saidatina Fatimah al Zahra puteri Rasulullah S. Inilah nasab yang paling sempurna, suci dan mulia.

Sayyiduna Ali berkata, ketika Husain dilahirkan, aku memberinya nama Harb, lalu datanglah Rasulullah SAW berkata: “Beritahulah aku siapa nama cucuku ini?”. Aku menjawab, Harb, Kata Nabi SAW, “Bukan, tapi namanya adalah Husain ”.

Dan ketika anak yang ketiga lahir, aku memberinya nama Harb, dan datanglah Rasulullah S bertanya, “Beritahulah aku siapa nama cucuku ini? Aku menjawab, Harb. Nabi S berkata, “Bukan, tapi namanya adalah Husain”.

Kelahirannya

Sayyiduna Husain telah dilahirkan di Madinah pada 5 hari bulan Sya’ban tahun 4 Hijrah. Ada pendapat mengatakan jarak kelahiran di antara Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain dalam tempoh 50 hari.

Pada hari ke-7 selepas kelahiran Husain , Rasulullah S telah datang bertemu cucunya, kemudian Baginda SAW membuka mulut Husain dan mentahniqnya dengan air liurnya, mengazankan di telinganya serta memberikan nama yang baik iaitu Husain. Rasulullah S turut mengaqiqahkan cucunya dengan seekor kambing jantan. Kemudian Baginda SAW berkata kepada Fatimah, “Cukurlah rambutnya, dan bersedekahlah dengan perak seberat rambutnya sepertimana yang telah engkau lakukan kepada saudaranya Hasan”.

Di Mesir, penduduk Kaherah sentiasa menyambut kelahiran Sayyiduna Husain . Mereka mengadakan satu perayaan yang dinamakan dengan Maulid Sayyidina Husain . Pasar-pasar, rumah-rumah dan masjid-masjid semuanya dihiasi dan al Quran akan dibacakan. Di malam Isnin pula, semuanya akan berkumpul beramai-ramai bertawassul dan mendoakan rahmat serta kesejahteraan Sayyiduna Husain ibn Ali .

Gelarannya

GelarannyaPanggilan Abu Abdullah telah diberikan kepada Sayyiduna Husain . Sedangkan beliau mempunyai banyak nama gelaran. Antaranya adalah ar Rasyid, al Toyyib, al Zaqi, al Wafa, al Sayyid, al Mubarak, al Nafi’ dan al Sibt. Yang paling masyhur adalah al Zaqi.

Anak-anaknya

Muhammad ibn Abi Tolhah al Quraisyi di dalam kitab Manaqib al Rasul berkata: “Sayyiduna Husain memiliki 9 anak. Enam orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan”.

1. Ali al Akhbar yang syahid bersama Sayyiduna Husain
2. Ali Zainal Abidin as Sajjad . Ibunya bernama Syah Zinan.
3. Anaknya paling kecil yang syahid bersama Sayyiduna Husain di Karbala’. Ibunya bernama Laili binti Abi Murrah ibn ‘Urwah ibn Mas’ud.
4. Muhammad .
5. Abdullah yang syahid bersama Sayyiduna Husain di Karbala’. Ketika itu Abdullah dipenggal kepalanya di khemah Sayyiduna Husain .
6. Ja’far
7. Zainab .
8. Sukainah. Ibunya bernama Rabbab.
9. Fatimah. Ibunya bernama Ummu Ishaq binti Tolhah ibn Abdullah Taimiah.

Khatannya

Sayyidina Jabir berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengaqiqahkan Hasan dan Husain serta mengkhatankannya pada hari ke-7 dari hari kelahirannya”.

Ibu Susuannya

Ibu yang bertuah menyusukan Sayyiduna Husain bernama Ummu Fadhl. Telah disebutkan dalam hadith, bahawa Ummu al Fadhl telah berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau tahu bahawa salah satu daripada ahli keluargamu berada di rumahku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Fatimah telah melahirkan seorang bayi yang akan menyusu dengan air susuan Qutham (putera Ummu al Fadhl)”.

Ketika Ummu al Fadhl datang kepada Rasulullah S bersama Sayyiduna Husain , Rasulullah S mendudukkan Sayyiduna Husain di dalam kamarnya dan Sayyiduna Husain telah kencing ke atasnya. Ummu al Fadhl kemudian memukul bahagian tubuh antara punggung Sayyiduna Husain , Rasulullah S telah menegurnya, “Engkau telah menyakiti cucuku! Semoga Allah ? mengasihimu”.

Kelebihannya

Sesungguhnya Rasulullah S telah bersabda:

“Husain sebahagian dariku dan aku adalah sebahagian dari Husain , Ya Allah! Aku mencintai orang yang mencintai Husain ”.

Rasulullah juga bersabda S: “Husain sebahagian dariku dan Aku sebahagian dari Husain, Allah mengasihi Husain , Husain adalah sekumpulan orang daripada banyak kumpulan”.

Makna hadith “Husain sekumpulan dari banyak kumpulan” ialah, ilmunya menandingi ilmu sekumpulan orang. Maksud hadith tersebut ialah Rasulullah SAW adalah seperti matahari dan Sayyiduna Husain adalah cahaya yang terpancar dari matahari tersebut dan maksud “Aku sebahagian daripada Husain ?” ialah, aku berhubung dengan Sayyiduna Husain seperti bersambungnya matahari dengan cahayanya.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah , bahawa ketika Rasulullah SAW di Masjid, Baginda S telah bertanya, “Di manakah anak kecil tadi?” Maka datanglah Husain dengan berjalan kaki ke arah Baginda SAW lalu duduk di pangkuannya. Husain meletakkan jarinya pada janggut Rasulullah SAW. Kemudian Baginda SAW membuka mulut Husain dan memasukkan lidahnya ke mulut Husain lantas berdoa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku amat mencintainya, maka cintailah dia dan orang-orang yang mencintainya”.

Zaid ibn Abu Ziyad berkata: “Rasulullah SAW keluar dari rumah Saidatina Aisyah menuju ke rumah Saidatina Fatimah az Zahra. Baginda SAW mendengar Sayyiduna Husain sedang menangis. Kemudian Baginda SAW berkata, “Apakah kamu tidak tahu bahawa tangisan Husain membuatku berasa sakit”.

Sayyiduna Ibnu Abbas ? berkata: “Ketika Allah menurunkan ayat:. "(Katakanlah Muhammad SAW), aku sekali-kali tidak meminta upah daripada kamu semua selain menyayangi sanak kerabat). Mereka bertanya, “Ya Rasulullah SAW, siapakah kerabat kamu yang harus kami cintai?”. Baginda SAW menjawab, “Ali , Fatimah dan kedua-dua puteranya”.

Kehidupannya
Sayyiduna Husain tinggal bersama-sama keluarganya selama tujuh tahun. Beliau tinggal bersama ayahnya selama 37 tahun. Sedangkan beliau tinggal bersama-sama Sayyiduna Hasan selama 47 tahun. Ketika itu usianya 58 tahun.

Selama tinggal di Madinah, Sayyiduna Husain selalu mengikuti ayahnya Sayyiduna Ali dalam peperangan. Antaranya ialah perang Siffin, di samping ikut serta memerangi kaum Khawarij. Beliau tinggal bersama-sama ayahnya sehingga Sayyiduna Ali wafat dibunuh. Selepas itu Sayyiduna Husain pindah tinggal bersama-sama Sayyiduna Hasan . Saudaranya itu telah menyerahkan pemerintahan kepada Sayyiduna Mu’awiyah. Lalu keduanya berangkat menuju ke Madinah dan menetap di sana sehingga Sayyiduna Mu’awiyah meninggal dunia.

Kemudian beliau berangkat ke Makkah dan di sanalah beliau mendapat surat daripada penduduk Iraq bahawa mereka telah membai’ahnya setelah kewafatan Sayyiduna Mu’awiyah . Sayyiduna Husain pun mengutus Muslim ibn ‘Aqil kepada mereka untuk membai’ahkan mereka. Dari sinilah bermulanya sejarah pembunuhan Sayyiduna Husain.

Ibnu Kathir berkata: Sayyiduna Husain telah menemani Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW wafat. Sayyiduna Abu Bakar as Siddiq sangat menghormati dan memuliakannya.

Diriwayatkan bahawa beliau selalu bersama ayahnya dalam semua pertempuran iaitu perang Jamal dan Siffin. Beliau ialah seorang yang penuh berwibawa dan dihormati, dan sentiasa mentaati ayahnya sehingga beliau dibunuh.

Ketika berlakunya pertukaran khalifah antara Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Mu’awiyah, Sayyiduna Husain merasa keberatan. Apabila kuasa pemerintahan berada ditangan Sayyiduna Mu’awiyah , Sayyiduna Husain dan Sayyiduna Hasan bebas keluar masuk ke istana dan Sayyiduna Mu’awiyah melayan mereka dengan hormat sekali. Beliau menyambut kedatangan cucunda Rasulullah SAW dengan ucapan: Selamat datang, dan memberi mereka hadiah yang banyak.

Sayyiduna Mu’awiyah juga membebaskan 200 ribu tawanan dalam penjaranya dalam tempoh satu hari demi Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain . Beliau berkata kepada kedua-duanya: “Ambillah hak anda, kerana aku adalah anak Hindun. Demi Allah , tidak ada seorang pun sebelum dan selepasku yang memberikan hadiah sebanyak ini. Sayyiduna Husain menjawab, “Demi Allah !, kamu dan orang sebelum dan selepas kamu belum pernah memberi dua orang lelaki yang lebih mulia daripada kami”.
Kehidupannya bersama Rasulullah SAW

Ketika Sayyiduna Husain masih kecil, beliau tinggal bersama Rasulullah SAW selama 6 tahun 7 bulan dan 7 hari.

Abdullah ibn Syidad ? berkata: “Kami keluar bersama Rasulullah S untuk menunaikan solat Isya’. Ketika itu Baginda SAW membawa cucunya Hasan dan Husain. Ketika itu Baginda S menjadi imam dan meletakkan Husain di sampingnya. Kemudian Rasulullah S mula mengangkat takbir. Ketika sujud, Baginda S agak lama. Aku lantas mengangkat kepala, tiba-tiba Husain naik ke punggung Rasulullah SAW yang pada ketika itu sedang sujud. Kemudian aku sujud kembali. Apabila solat sudah selesai, Baginda S ditanya, “Ya Rasulullah S, Engkau melakukan sujud terlalu lama.” Mengapakah Engkau sujud begitu lama sehingga kami menyangka sedang berlaku apa-apa pada diri Engkau atau Allah menurunkan wahyu kepada Engkau.

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak ada apa-apa yang terjadi, Cuma tadi, cucuku telah menaiki punggungku ketika aku sujud. Aku khuwatir untuk cepat-cepat jadi aku tunggu hingga dia akan turun sendiri”.

Kecintaan Sayyiduna Umar kepada Husain

Sayyiduna Ibnu Abbas berkata: “Sayyiduna Umar ibn al Khattab sangat menyayangi Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain melebihi cinta beliau pada anaknya”. Pada suatu hari beliau memberi wang kepada Sayyiduna Hasan ? dan Sayyiduna Husain ? sebanyak 10.000 dirham, sedangkan anaknya Sayyiduna Abdullah ? diberinya 1.000 dirham. Kemudian Abdullah ? mempersoalkan pada ayahnya, dia berkata, “Bukankah engkau tahu bahawa aku lebih dulu masuk Islam dan hijrah, tapi mengapa engkau memuliakan anak tersebut?”. Sayyiduna Umar ? menjawab, “Celaka engkau wahai Abdullah, cubalah engkau lihat adakah kita mempunyai datuk seperti datuknya? Ayah seperti ayahnya? Ibu seperti ibunya? Nenek seperti neneknya? Pakcik seperti pakciknya? Makcik seperti makciknya? Pakcik dan makcik dari pihak ayah seperti pakcik dan makciknya?”. Datuknya adalah Rasulullah S. Ayahnya adalah Ali ?. Ibunya Fatimah al Zahra. Neneknya pula Saidatina Khadijah binti al Khuwailid. Pakciknya Ibrahim putera Rasulullah S. Makciknya Zainab, Ruqaiyyah dan Kalthum. Pakciknya dari belah ayahnya adalah Ja’far ibn Abu Tolib . Dan makciknya dari pihak ayahnya adalah Ummu Hani’ binti Abu Tolib.

Ibnu ‘Asakir dalam kitab Al Tarikh berkata: “Pemberian Sayyiduna Umar al Khattab kepada Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain ibarat pemberiannya kepada ayahnya (Sayyiduna Ali ?)”. Sayyiduna Umar ? memberikan hak kepada keduanya sebagaimana hak orang yang mengikuti peperangan Badar. Sayyiduna Umar al Khattab ? telah menetapkan bahagian masing-masing sebanyak 5.000 dirham.

Diriwayatkan pula bahawa Sayyiduna Umar al Khattab telah membebaskan sumpahnya dengan cara membayar kafarah. Kemudian rakyatnya memakaikan pakaian kebesaran padanya. Mereka menyambut pembebasan itu. Sayyiduna Umar ? ketika itu sedang duduk antara maqam dan mimbar. Mereka datang dan mengucapkan salam kepadanya. Mereka memanggil lalu keluarlah Sayyiduna Hasan ? dan Sayyiduna Husain ? dari rumah mereka dalam keadaan berat hati.

Pada waktu itu rumah mereka berada di pinggir Masjid. Kedua-duanya ketika pada hari pembebasan itu tidak ada memiliki sesuatupun. Apabila Sayyiduna Umar al Khattab ? memandang mereka dalam keadaan tidak senang hati, beliau mengerutkan dahi, kemudian berkata, “Demi Allah ?, aku tidak berasa tenang dengan apa yang telah kamu semua pakaikan kepadaku”. Mereka bertanya, “Kenapa wahai Amirul Mukminin?”. Sayyiduna Umar ? menjawab, “Kerana kedua anak ini tidak memiliki sesuatu pun yang dapat dipakai sepertimana orang lain pakai”.

Kemudian Sayyidina Umar menulis surat kepada Gabenor Yaman, yang berbunyi, “Kirimkan kepada saya, dua helai pakaian yang bagus untuk Hasan ? dan Husain ? serta seekor anak lembu”. Gabenor Yaman pun membalas surat Sayyiduna Umar al Khattab ? dan menghantarkan dua helai pakaian yang bagus”.

Selepas memperolehi pakaian itu, Sayyiduna Umar al Khattab memakaikan kedua-duanya itu dengan pakaian itu. Setelah selesai memakaikannya, Sayyiduna Umar al Khattab ? berkata: Sekarang aku sudah berasa tenang sekali.

Sifat-Sifatnya
Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari, daripada Anas ibn Malik dalam manaqib Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain. Beliau berkata, “Husain lebih mirip dengan Rasulullah S jika dibandingkan dengan Sayyiduna Hasan ?”.

Sayyiduna Ali berkata, “Kemiripan Hasan dengan datuknya Rasulullah SAW itu ialah antara dada dan kepala. Sedangkan kemiripan Husain dengan Rasulullah S itu ialah dari dada hingga ke bawah”.

Kesimpulan dari hadith ini adalah bahawa Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain itu mirip dengan Rasulullah S.

Sayyiduna Husain ialah seorang yang sangat tampan sepertimana dikatakan oleh Abdul Qadir al Baghdadi. “Aku belum pernah melihat seseorang pun yang lebih tampan dan menyilaukan mata daripada Sayyiduna Husain ?”.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Asakir dalam Al Tarikh: “Sesungguhnya suara Sayyiduna Husain sangatlah merdu seperti dengungan nan indah, iaitu suara yang lembut yang keluar daripada pangkal hidung yang mirip dengan suarayunan angin di pepohonan yang rendang.

Di dalam diri Sayyiduna Husain terhimpun akhlak yang mulia, tingkah laku baik, semangat yang tinggi, berani, dermawan, keilmuan yang mendalam, lisan yang fasih, suka menolong orang untuk mendapatkan kebenaran, mencegah kemungkaran serta kezaliman, sifat tawadhu’, adil, sabar, wara’, pembersih, tampan dan gagah orangnya.

Keistimewaan Sayyiduna Husain ialah seorang yang rajin beribadah, suka membuat kebajikan dan bertaqwa. Ketika beliau menetap di Madinah, Sayyiduna Husain tak jemu-jemu mengajarkan ilmunya, keluhuran budi pekerti, bersifat sopan-santun, dan dermawan, menolong fakir miskin, menghormati pemerintah di Madinah dan bergaul mesra dengan orang ramai tanpa mengira pangkat, kekayaan atau darjat.

Sayyiduna Husain turut berjuang dengan ayahnya, Sayyiduna Ali memerangi Khawarij, bersama-sama dengan tentera Islam untuk menakhluk Afrika, Georgia, Tabaristan dan Konstaninopel (negara Turki).

Seluruh kehidupan beliau adalah bersumberkan Sunnah datuknya Rasulullah SAW. Satu role model yang terbaik untuk umat Islam. Beliau berakhlak Rasulullah S. Sayyiduna Husain ? merupakan contoh yang terbaik bagi orang-orang yang ingin mendapatkan petunjuk dan cahaya kebenaran. Hidupnya ibarat pelita bagi orang-orang yang inginkan cahayanya melalui kebaikan-kebaikan yang ditunjukkan.

Kemuliaannya

Muhammad ibn Abu Tolhah al Syafi’ telah menyebutkan dalam kitab Matolib al Sual fi Manaqib Ali, tentang kemuliaan Sayyiduna Husain. Antaranya ialah:

Beliau sangat memuliakan tetamu, menghargai orang yang datang meminta kepadanya, penyambung silaturrahim sesama manusia, seorang yang pemurah terhadap orang fakir miskin, mengasihi pengemis di jalanan, memberikan pakaian kepada yang tiada mempunyai pakaian untuk dipakai, memberikan makanan bagi yang lapar, memberikan wang bagi yang banyak menanggung hutang, sentiasa menolong orang yang lemah, menyayangi anak-anak yatim, membantu orang yang memerlukan bantuannya. Beliau juga sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada mengumpul harta.

Diriwayatkan daripada Ahmad ibn Sulaiman di dalam kitab ‘Aqd al Aal fi Manaqib al Aal, bahawa Sayyiduna Husain ketika itu sedang duduk di Masjid al Nabawi setelah wafatnya Sayyiduna Hasan ?. Manakala Sayyiduna Abdullah ibn Zubair ? duduk di sisi yang lain dan Sayyiduna ‘Utbah ibn Abu Sufyan ? pula duduk di sisi yang lain juga.

Tiba-tiba datang seorang Arab yang menaiki kuda. Orang Arab itu kemudian mengikatkan kudanya di pintu Masjid al Nabawi dan dia masuk dan duduk di sebelah Sayyiduna ‘Utbah ibn Abu Sufyan ?, lantas memberi salamnya. Orang Arab itu berkata, “Aku telah membunuh anak pakcikku dan aku diminta dendanya (diyat), apakah engkau mempunyai sesuatu yang dapat kamu berikan padaku?”. Kemudian Sayyiduna ‘Utbah ? mengarahkan anaknya memberikan wang sebanyak 100 dirham kepada orang Arab itu. Kata orang Arab itu, “Aku tidak menginginkannya kecuali apabila sudah mencukupi untuk membayar diyat”.

Kemudian dia pergi pula ke Sayyiduna Abdullah ibn Zubair dan dia berkata sepertimana ia berkata kepada Sayyiduna ‘Utbah. Sayyiduna Abdullah pun berkata pada anaknya, “Berilah dia 200 dirham”. Orang Arab itu berkata, “Aku tidak menginginkannya kecuali sudah mencukupi untuk membayar diyat”.

Kemudian orang Arab itu pergi meninggalkannya dan menuju ke Sayyiduna Husain. Dia mengucapkan salam lantas berkata, “Wahai cucu Rasulullah SAW, aku telah membunuh anak pakcikku dan aku dituntut dendanya (diyat), apakah kamu mempunyai sesuatu yang dapat kau berikan padaku?”. Sayyiduna Husain ? berkata, “Wahai orang Arab kami adalah kaum yang tidak akan memberi orang yang dikenal kecuali hanya kerana pengetahuannya”. Orang Arab itu menjawab, “Bertanyalah ikut kehendakmu”. Sayyiduna Husain ? berkata kepadanya, “Wahai orang Arab bagaimanakah caranya supaya selamat dari kehancuran?”. Orang Arab itu menjawab, “Dengan bertawakal kepada Allah ?”. Sayyiduna Husain ? bertanya lagi, “Apakah yang dapat memberikan semangat?”. Orang Arab itu menjawab, “Percaya kepada Allah ?”. Sayyiduna Husain ? bertanya soalan yang lain pula dan setiap kali orang Arab itu dapat menjawabnya.

Kemudian Sayyiduna Husain memberikannya 10.000 dirham dan berkata: Ini untuk membayar hutangmu dan 10.000 dirham ini untuk menghilangkan bebanmu dan belanja buat keperluan keluargamu. Lantas orang Arab itu berkata:
“Kegembiraanku bukan kerana kobaran hati yang melekat dan
bukan pula kerana kedudukan dan kerinduan,
Namun kecenderunganku pada keluarga Rasulullah SAW
Kerana itu kubuatkan puisi dan lagu
Mereka orang-orang yang mulia dan lahir
orang-orang yang terhormat
Mereka laksana bintang-bintang bercahaya di langit
Engkau mendahului manusia kemuliaan
Engkau bermurah hati tanpa berhenti
Ayahandamu menguasai kehormatan
Mendahului yang terdahulu
Kerananya Allah membuka pintu kebaikan
Menutup pintu kejahatan”.

Diriwayatkan daripada Sayyid Mohsin ibn Abdullah al Karim Husaini. Bahawa Sayyiduna Hasan memerlukan Sayyiduna Usamah ibn Zaid. Ketika itu beliau sakit dan berkata pada saudaranya Sayyiduna Husain ?, “Aku berasa khawatir!”. Sayyiduna Husain ? bertanya, “Apakah perkara yang membuatkanmu khawatir wahai saudaraku?”. Beliau menjawab, “Hutangku berjumlah 60.000 dirham”. Sayyiduna Husain ? berkata, “Janganlah risau, itu adalah tanggunganku”.

Beliau berkata lagi, “Aku khuwatir mati dalam keadaan belum melunaskan hutangku”. Sayyiduna Husain menjawab, “Kamu tidak akan mati sebelum aku melunaskannya”. Kemudian Sayyiduna Husain ? mengotakan janjinya melunasi hutang Sayyiduna Hasan ? sebelum saudaranya meninggal.

Akhlaknya

Diriwayatkan daripada Yaqut al Musta’sam dalam risalahnya dan Nuruddin ibn Ali ibn Muhammad ibn al Sabagh daripada Sayyiduna Anas ? berkata, “Ketika aku bersama Husain ?, tiba-tiba datang seorang budak perempuan yang membawa seikat harum-haruman. Kemudian budak perempuan itu memberikan penghormatan kepada Sayyiduna Husain ? dengan seikat harum-haruman tadi”. Sayyiduna Husain ? berkata, “Mulai hari ini kamu dimerdekakan, sebab niat ikhlas kerana Allah ?”. Aku bertanya kepadanya, “Seorang budak perempuan yang menghormatimu dengan seikat harum-haruman engkau bebaskan?”.

Sayyiduna Husain menjawab, “Demikianlah Allah mengajarkan kepada kita sepertimana firmanNya: “Jika ia menghormatimu dengan sebuah penghormatan maka berikan penghormatan yang lebih baik dari itu atau dengan sebaiknya”.

Sifat Pemaafnya

Seorang budak yang telah dimerdekakan oleh Sayyiduna Husain telah melakukan satu kesalahan dan akan dihukum kerana perbuatannya itu. Maka Sayyiduna Husain ? pun memerintahkan hukuman itu dijatuhkan pada budak itu. Sebelum dikenakan hukuman budak itu berkata: Tuanku, Allah ? telah berfirman:

“Dan orang-orang yang menahan kemarahannya”.

Sayyiduna Husain berkata kepada pengawalnya, “Bebaskan dia kerana aku telah dapat mengalahkan amarahku”. Budak itu berkata lagi,

“Dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang”.

Sayyiduna Husain berkata, “Saya telah memaafkanmu”. Budak itu berkata,


“Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik”.

Sayyiduna Husain berkata, “Sekarang kamu bebas dengan ikhlas kerana Allah ”. Kemudian Sayyiduna Husain memberikan hadiah kepadanya.

Beliau mempunyai sifat dermawan yang sungguh istimewa, kemurahan hatinya tiada tolok bandingannya.

Diriwayatkan oleh al Mubarrad dalam kitab al Kamil dan al Quzwini dalam kitab ‘Ajaib al Makhluqot, sesungguhnya Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain ? berkata kepada Sayyiduna Abdullah ibn Ja’far ibn Abu Tolib ?, “Kamu telah berlebih-lebihan dalam membelanjakan harta”. Beliau menjawab, “Demi aku, kamu semua dan ibuku, sesungguhnya Allah ? telah mentakdirkan untuk mengutamakan aku, maka aku pun membiasakan diriku untuk mengutamakan menyembahNya. Oleh itu, aku khawatir untuk memutuskan kebiasaanku dan nescaya Allah ? akan menghentikan kebiasaanNya kepadaku”.

Diriwayatkan daripada Yaqut al Mustha’sam dalam kitab Asrar al Hukama, Sayyiduna Husain berkata: “Janganlah membebankan diri kamu dengan sesuatu yang kamu sendiri tidak mampu dan janganlah membelanjakan harta kamu kecuali hanya keperluan dan manfaatmu sahaja”.

Keberanian Husain

Sayyiduna Husain merupakan seorang lelaki yang sangat berani semenjak kecil lagi. Beliau selalu mengikuti ayahnya Sayyiduna Ali keluar berperang.

Muhammad ibn Abu Tolhah menyebutkan tentang bala tentera yang dihantar oleh Ibnu Ziyad untuk membunuh Sayyiduna Husain . Beliau berkata: “Sayyiduna Husain berusaha sekuat tenaga untuk mempertahankan diri, keluarganya, saudara mara serta para sahabat semasa melawan Ibnu Ziyad. Rombongan Sayyiduna Husain ? diserang secara habis-habisan serta dihujani dengan ratusan anak panah. Namun Sayyiduna Husain ? tetap teguh dan tidak luntur akan keberaniannya dan tidak lemah semangatnya. Keberaniannya di medan perang lebih kukuh dari gunung. Hatinya sedikit pun tidak gentar dalam menghadapi peperangan dan tidak takut untuk membunuh”.

Ibnu Abu al Hadid dalam syarahnya berkata: “Siapakah yang lebih berani seperti Sayyiduna Husain ibn Ali ketika peristiwa al Thof. Saya belum pernah bertemu dengan orang yang dalam keadaan kalah masih terlalu berani daripadanya. Beliau laksana singa yang menerkam pasukan berkuda. Bagaimanakah seorang lelaki yang jiwanya berkobar-kobar di medan perang walaupun anak-anaknya, saudara-maranya dan anak-anak pakciknya terbunuh setelah mengerahkan segala tenaga yang ada untuk melindungi mereka? Dialah yang telah menjadi semangat keperwiraan bangsa Arab, dan diikuti pula oleh anak cucu Sayyiduna Zubair ?, Sayyiduna Mahlab ? serta yang lainnya.

Syeikh Ali ibn ‘Isa dalam kitab Kasyf al Ghummah berkata: “Sesungguhnya keberanian Sayyiduna Husain itu tiada tandingannya dan kesabarannya membuatkan orang-orang pada zaman sekarang dan dahulu merasakan diri mereka terlalu kecil”.

Firasatnya

Disebutkan seorang lelaki telah mengaku harta itu kepunyaannya di hadapan Sayyiduna Husain . Lalu Sayyiduna Husain menyuruh agar dia bersumpah atas pengakuannya.

Maka lelaki itu melakukan sumpah dan berkata, “Demi Allah! yang tiada Tuhan selainNya”. Tetapi Sayyiduna Husain berkata, “Katakanlah demi Allah, demi Allah, demi Allah harta itu adalah milikku!" Kemudian lelaki itu menangis dan melakukan apa yang disebut Sayyiduna Husain ? lalu ia berdiri. Ditakdirkan tiba-tiba kakinya lumpuh dan diapun terus jatuh tersungkur dan mati.

Sayyiduna Husain ditanya, “Kenapakah kamu berkata begitu?”. Maknanya, kenapa kamu tidak menerima sumpah (demi Allah tiada Tuhan selainNya), tapi memilih sumpah dengan ucapan: Demi Allah, demi Allah, demi Allah. Beliau menjawab, “Aku khuwatir kalau dia memuji Allah ? maka Allah ? akan merasa kasihan terhadapnya”.

Amal Ibadahnya

Diriwayatkan oleh Ibnu Athir, katanya: Sayyiduna Husain ialah seorang yang kuat berjaga malam untuk beribadah serta selalu berpuasa di siang hari, kuat bersedekah, mengerjakan haji dan bersegera dalam membuat perkara kebajikan.

Diriwayatkan Mus’ab al Zubairi: Sesungguhnya Sayyiduna Husain telah mengerjakan haji sebanyak 25 kali menyahut seruan Ilahi dengan hanya berjalan kaki. Sentiasa bersabar dan redha dalam menerima segala ujian yang datang daripada Allah ?. Ini dapat kita ambil dari kata-katanya:

“Aku adalah dari ahli keluarga Rasulullah SAW. Kami memohon kepada Allah maka Allah memperkenankan permintaan kami dan apabila Allah mengkehendaki apa yang kami benci tetapi Allah ? sukai, maka kami redha atas segalanya itu”.

Tawadhu’nya

Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam kitab Al Tarikh, bahawa pada suatu hari Sayyiduna Husain berjalan dan bertemu dengan orang-orang miskin yang sedang makan di tempat Ahli Suffah. Mereka berkata, “Marilah makan bersama kami, wahai cucu Rasulullah S”. Kemudian Sayyiduna Husain ? pun memenuhi ajakan mereka dan makan bersama-sama.

Orang-orang miskin itu berkata, “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong". Kemudian beliau berkata kepada mereka, “Bukankah aku telah memenuhi pelawaan kamu maka sekarang penuhilah pula undanganku”. Mereka menjawab, ‘Baiklah.” Sayyiduna Husain ? pun pulang bersama dengan mereka menuju ke rumahnya. Sampai saja di sana beliau berkata kepada khadamnya, “Keluarkanlah semua apa yang ada untuk menjamu orang”.

Ibnu Qutaibah meriwayatkan dalam kitab ‘Uyun al Akhbar: Pada suatu hari Sayyiduna Abdullah ibn Zubair telah mengundang Sayyiduna Husain untuk majlis jamuan. Beliau pun memenuhi undangan tersebut bersama rombongannya. Tetamu yang datang pun mula menjamu makanan yang dihidangkan, sedangkan Sayyiduna Husain ? tidak menjamah apa-apapun. Lalu beliau ditanya, “Kenapakah kamu tidak makan?”. Beliau menjawab, “Saya sedang berpuasa, tapi puasa yang berhias”. Beliau ditanya lagi, “Apakah maksudnya?”. Beliau menjawab, “Memakai minyak rambut dan wangi-wangian”. Walaupun beliau tidak makan dan minum, namun beliau berusaha memenuhi undangan itu dan datang dalam keadaan harum sebagai penghormatan terhadap orang yang mengundangnya ke majlis

Keilmuannya

Sayyiduna Husain merupakan seorang lelaki yang bijak dan cerdik. Di Madinah, beliau sentiasa didahulukan. Orang ramai mengambil manfaat dengan mendengar kata-kata nasihat beliau yang penuh hikmah. Kemudian mereka akan mengikuti dan mengamalkan apa yang telah mereka dengar dan lihat daripada Sayyiduna Husain ?.

Ibnu Umar ? menyebutkan bahawa: “Sayyiduna Hasan dan Sayyiduna Husain keduanya merupakan lautan ilmu”.

Ketinggian ilmu Sayyiduna Husain jelas terbukti dalam kalam-kalamnya, surat-surat dan khutbahnya.

Kalam Mutiaranya

“Jika kamu mendengar seseorang yang memiliki akhlak yang buruk maka berusahalah agar ia tidak mendekatimu, kerana sesungguhnya akhlak buruk itu akan mencelakakan orang yang mendekatinya”.

“Janganlah membebankan diri kamu dengan apa yang engkau tidak mampu, dan janganlah engkau mengatakan sesuatu yang engkau tidak fahami. Janganlah membelanjakan hartamu kecuali yang benar-benar perlu saja bagi kamu, Janganlah bergembira kecuali jika kamu perolehi berupa ketaatan kepada Allah ?”.

“Seburuk-buruk sikap penguasa ialah rasa takut terhadap musuh-musuhnya, yang kejam terhadap yang lemah dan yang kedekut untuk memberi bantuan”.

Khutbahnya

“Wahai manusia, berlumba-lumbalah dalam mencapai kemuliaan, dan bergegas-gegaslah ke tempat pengembalaan, raihlah pujian dengan pemberian secara terus menerus. Ketahuilah bahawa kebaikan itu mendatangkan pujian dan diiringi dengan pahala. Seandainya kamu memberitahu kebaikan seorang lelaki maka mereka akan mengetahui kebaikannya yang ia simpan dari pandangan orang-orang yang memandangnya. Seandainya kamu memberitahu kejelekan maka mereka akan mengetahui keburukannya yang dapat membuatkan hati lari dan mata terpejam darinya.”

“Wahai manusia, barangsiapa yang bersungguh-sungguh maka ia akan meraihnya, dan barangsiapa yang malas maka ia akan menjadi hina. Manusia yang paling dermawan adalah orang yang memberi pada orang lain, yang mana orang yang diberi tersebut tidak terlalu mengharapkan barang pemberiannya. Sedangkan manusia yang paling pemaaf adalah orang yang memberi maaf seketika. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang menyambung kembali tali silaturrahim keluarganya terhadap orang yang telah memutuskan tali silaturrahim keluarga itu. Barangsiapa berbuat baik maka Allah ? akan berbuat baik padanya. Sesungguhnya Allah ? mencintai orang-orang yang berbuat baik”.

Karamahnya


Imam Syili al Ba’lawi pernah meriwayatkan karamah Sayyiduna Husain ibn Ali dalam kitab al Masyru’ ar Rawi, bahawa Ibnu Syihab al Zuhri berkata:

"Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Sayyiduna Husain telah mendapat hukuman daripada Allah di dunia lagi. Ada yang mati terbunuh, mata menjadi buta, ada yang hitam wajahnya dan ada yang hilang kuasa, miskin dan lain-lain lagi. Ada seorang lelaki bernama Abdullah ibn Husain, yang telah melarang Sayyiduna Husain ? dari meminum air sungai Furat. Dia berkata, “Hei Husain!. Tidakkah engkau melihat air sungai yang sejernih ini. Demi Allah! Engkau tidak akan dapat meminumnya sehingga mati kehausan”. Sayyiduna Husain pun berdoa, “Ya Allah! Matikanlah dia dalam keadaan yang sangat haus”.

Selepas peristiwa itu Abdullah ibn Husain berasa sangat haus walaupun dia banyak minum air. Namun di saat menjelang ajalnya, beliau berasa dahaga yang amat sangat sehingga akhirnya mati dalam keadaan haus dan menyeksakan.

Diriwayatkan ketika Sayyiduna Husain baru hendak meminum air di Karbala, tiba-tiba beliau dipanah di tekaknya oleh seorang lelaki bernama Wazaghah. Di saat itu Sayyiduna Husain sempat berdoa, “Ya Allah! Berilah dia sentiasa dahaga”. Selepas kejadian itu, dia sentiasa merasa haus. Peliknya dia berasa kepanasan di perutnya dan berasa kedinginan di punggungnya. Wazaghah selalu duduk dengan dikelilingi bara api dan kipas. Dia selalu menjerit untuk meminta minuman. Akhirnya perutnya membesar seperti perut unta akibat terlalu banyak minum kerana sentiasa berasa haus dan dahaga.

Imam Syili pernah meriwayatkan bahawa ada seorang tua yang juga ikut serta dalam pembunuhan Sayyiduna Husain di Karbala’ berkata, “Setiap orang yang ikut serta membunuh Sayyiduna Husain dan ahli keluarganya, semuanya mati terkena musibah dan bala, sedangkan aku yang juga ikut dalam pembunuhan itu tetap selamat”. Belum pun berapa lama dia mengucapkan kata-katanya itu, tiba-tiba dia bangkit untuk membaiki lampu minyaknya. Tiba-tiba api yang berada di dalam lampu itu menyemarak dan membakar dirinya sehingga dia mati.

Satu riwayat lagi menceritakan, ada seorang lelaki yang menggantungkan kepala Sayyiduna Husain di pelana kudanya. Setelah beberapa hari, wajahnya berubah jadi hitam pekat seperti arang. Ketika dia ditanya, “Apakah yang menyebabkan wajah engkau berubah menjadi hitam seperti ini?. Bukankah dulu engkau termasuk orang yang tampan?. Jawabnya, “Waktu aku menggantungkan kepala Sayyiduna Husain ? di belakang pelana kudaku. Di malam harinya, aku seolah-olah didatangi oleh dua orang. Keduanya mengheret lenganku sampai di tepi suatu jurang yang penuh dengan api sedang marak. Keduanya menarikku dan mencampakkanku ke dalam api yang tengah marak sehingga wajahku berubah menjadi hitam”. Tidak berapa lama kemudian lelaki itu mati dalam keadaan menyedihkan.

Imam Syili juga menceritakan bahawa ada seseorang yang hanya menghadiri pembunuhan Sayyiduna Husain di Karbala’ lalu dia menjadi buta. Ketika ditanya bagaimana dia boleh menjadi buta, dia menceritakan bahawa dirinya melihat Rasulullah S memegang pedang, dan 10 orang pembunuh Sayyiduna Husain ? disembelih di hadapan Rasulullah S. Rasulullah S mencela dan memarahinya kerana turut terlibat mendukung pembunuh-pembunuh cucu kesayangannya. Kemudian Rasululullah S mengambil darah Sayyiduna Husain ? dan melumurkan dekat matanya sehingga dia menjadi buta.

Syahidnya Sayyiduna Husain di Padang Karbala

Rasulullah SAW telah menyatakan akan syahidnya Sayyiduna Husain.

Telah tetap disisi al Hakim dan periwayat hadith yang lain bahawa Rasulullah S telah memberi kepada Ummu Salamah, botol yang di dalamnya mengandungi tanah Karbala’ yang didatangkannya oleh Jibril ? lalu bersabda kepadanya: “Jikalau tanah ini menjadi darah maka telah syahidlah Sayyiduna Husain ?”.

Apabila tanah itu telah bertukar menjadi darah, Ummu Salamah telah memberitahu penduduk Madinah tentang syahidnya Sayyiduna Husain sebelum sampainya berita itu beberapa hari.

Diberitakan juga bahawa jin menangisi akan kesyahidan Sayyiduna Husain . Mengikut riwayat daripada penduduk Madinah, mereka mendengar satu suara dan tidak melihat orang menangis dan bernasyid:

“Wahai pembunuh-pembunuh yang jahil akan Sayyiduna Husain . Berita gembira bagi kamu dengan azab dan ugutan semua makhluk di langit mendoakan seksaan atas kamu dari kalangan Nabi dan Rasul serta kumpulan di langit ini anak Nabi Daud ? mendoakan seksaan atas kamu juga, Nabi Musa ? serta tuan bagi kitab Injil, Nabi Isa ? ”.

Punca Syahidnya Sayyidina Husain

Peristiwa terbunuhnya cucu Baginda SAW merupakan salah satu peristiwa besar dalam Islam. Kejadian itu sangat menyedihkan bagi setiap orang Islam dan membuatkan setiap jiwa berasa marah terhadap orang-orang yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Hal ini juga terjadi disebabkan kejahilan Yazid ibn Mu’awiyah yang terkenal dengan kekejamannya, kezaliman dan jahil terhadap agamanya.
Manakala penduduk Iraq juga terbabit sama. Mereka berjanji akan membai’ah dan menolong Sayyiduna Husain . Sayyiduna Husain pula berfikir bahawa mereka akan berjuang dengan sepenuh tenaga. Namun apabila beliau dan keluarganya mahu menuju ke Kufah mereka telah diserang di tengah perjalanan oleh tentera Yazid yang berjumlah 5.000 orang. Sedangkan di pihak Sayyiduna Husain ? hanya bersama 72 orang yang terdiri daripada anggota keluarga dan para sahabatnya.

Dengan kesabarannya, Sayyiduna Husain mempertahankan dirinya dan rombongan mereka. Beliau tidak sekali-kali akan menyerah kalah. Pihak musuh terlalu zalim, mereka telah menyekat dan menahan Sayyiduna Husain ? dan rombongan daripada mendapat bekalan air. Ini bertujuan supaya melemahkan mereka. Mereka juga membunuh anak Sayyiduna Husain ? yang bernama Abdullah ?. Salah seorang dari mereka telah memanah pada tubuh dan menyembelihnya.

Alangkah zalimnya perbuatan mereka pada cucu Rasulullah SAW. Lupa mereka akan darjat dan ketinggian ahli keluarga Nabi SAW.

Ketika Sayyiduna Husain tinggal seorang diri setelah kesemua rombongannya mati dibunuh, pihak musuh telah berjaya melukakan jasadnya yang pernah disentuh oleh Rasulullah S. Di tubuhnya terdapat lebih daripada 70 tusukan tikaman yang dilancarkan. Dalam keadaannya sudah luka parah, mereka telah memancung kepalanya yang mulia dan menginjak-injakkannya. Kepala Sayyiduna Husain ? dan para sahabatnya telah mereka tendang-tendang. Kemudian mereka meninggalkan jasad Sayyiduna Husain ? dan ahli keluarganya serta para sahabatnya tanpa dikebumikan.

Mereka membawa kepala-kepala yang mulia itu di atas ujung tombak-tombak mereka dari Karbala’ hingga ke Kufah, dari Kufah hingga ke Damsyik. Tawanan wanita pula dinaikkan ke unta dan Sayyiduna Ali Zainal Abidin ? dibelenggu tangannya.

Peristiwa apakah yang lebih menggerikan jika dibandingkan pembunuhan Sayyiduna Husains. Beliau seorang yang syahid. Dan musuh yang manakah lebih hina, jahil dan curang dalam permusuhan. Ya Allah! Balaslah akan perbuatan mereka. Cucu Nabi S dihina-hina dan diinjak-injak. Semoga mereka akan dihina di akhirat dan diadili dengan saksamanya.

Bagi pendapat penulis, orang-orang yang telah membunuh Sayyiduna Husain dan ahli keluarganya serta para sahabatnya adalah merupakan orang-orang yang jauh dari rahmat Allah ?. Mereka ini umpama orang-orang Bani Israil yang berani membunuh para Nabi AS yang telah membimbing mereka ke jalan yang benar.

Mereka telah melakukan dosa yang paling besar. Padahal mereka mengetahui kebesaran dan darjat ahli keluarga Rasulullah SAW. Mereka terhijab dengan apa yang mereka lakukan. Mereka melakukan ini semata-mata kerana kekayaan dunia yang bersifat sementara. Mereka menjual kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia. Yazid sebenarnya tidak memerintahkan untuk membunuh Sayyiduna Husain ?. Bahkan dikatakan: “Bahawa ketika mana kepala Sayyiduna Husain ? dibawa mengadapnya, beliau berasa sangat marah dan merasa sangat sedih hati. Beliau berteriak kerana tidak suka atas pembunuhan Sayyiduna Husain ?”.

Peristiwa yang menyayat hati ini terjadi pada tanggal 10 ‘Asyura tahun 61 Hijrah di sebuah tempat yang dinamakan Karbala’ di Iraq berdekatan dengan Kufah. Juga dikenali dengan al Thof.

Semoga Allah memberikan Sayyiduna Husain dan para sahabatnya dengan sebaik-baik balasan dan kedudukan yang tinggi.

Punca Berlakunya Tragedi Sedih ini

Disebutkan Sayyid Mahmud al Ba’lawi di dalam kitabnya Tarikh al Husain .

Sebab berlakunya peristiwa besar ini adalah bermula selepas kewafatan Sayyiduna Mu’awiyah pada tahun 60 Hijrah. Puteranya Yazid naik menjadi khalifah. Yazid pun mengutuskan Walid ibn ‘Uqbah untuk mengambil bai’ah Sayyiduna Husain dan Sayyiduna Abdullah ibn Zubair ? pada waktu malam. Mereka berkata: “Orang seperti kami tidak suka berbai’ah secara rahsia dan bersembunyi, kami mahu dibai’ah di hadapan orang ramai”.
Pada malam itu juga Sayyiduna Husain dan Sayyiduna Abdullah ibn Zubair keluar menuju ke Makkah pada malam Ahad tanggal 28 bulan Rejab tahun 60 Hijrah. Di Makkah, Sayyiduna Husain ? tinggal selama 4 bulan. Pada waktu itulah datang sepucuk surat daripada penduduk Kufah yang mahukan beliau menjadi khalifah. Mereka berjanji kalau Sayyiduna Husain ? sudi menjadi khalifah, mereka sanggup untuk berperang dan memberikan sokongan kepadanya.

Sayyiduna Husain akhirnya pun bersetuju dengan permintaan mereka. Beliau pun berangkat dari Makkah ke Kufah bersama rombongannya. Sementara itu di Kufah, Yazid telah mendengar berita itu mengarahkan Abdullah ibn Ziyad menyediakan pasukan tentera di bawah panglima Hasin ibn Tamim. Kemudian pasukan tentera itu berangkat dengan membawa pasukan berkuda untuk menghadang rombongan Sayyiduna Husain ? antara Qodisiyah dan bukit La’la.

Berita pasukan tentera Abdullah ibn Ziyad sampai di telinga Sayyiduna Husain. Beliau pun mengirim Qois ibn Mashar ke penduduk Kufah untuk memberitahu mereka supaya menghalang pasukan Hasin dan mengingtkan janji mereka kepada Sayyiduna Husain ?. Qois ibn Mashar ? dalam perjalanan hendak pergi telah diburu dan akhirnya dapat dibunuh oleh Hasin. Sayyiduna Husain ? pun meneruskan perjalanan ke Kufah diikuti seluruh lapisan masyarakat yang mereka temui semasa dalam perjalanan. Setelah itu Sayyiduna Muslim ibn ‘Aqil ? menghantar utusan ke Kufah untuk memberitahu pada mereka akan kedatangan Sayyiduna Husain ?.

Ketika Sayyiduna Husain ? tahu bahawa beliau akan disambut dengan pedang, maka berubahlah wajahnya dan berkata: “Wahai manusia, golongan kami telah mensia-siakan kami, barangsiapa yang hendak pergi, silakan. Kami tidak akan menyesal”.

Dan ada di antara mereka pergi meninggalkan rombongan Sayyiduna Husain . Akhirnya yang tinggal beliau, keluarga dan para sahabatnya. Mereka meneruskan kembali perjalanan. Namun di tengah perjalanan mereka dihadang 1.000 pasukan berkuda di bawah panglima Har ibn Yazid al Tamimi. Sayyiduna Husain ? berkata kepada mereka:
“Wahai manusia, takutlah kamu semua pada Allah ?. Sesungguhnya aku tidak akan datang kerana surat dan utusan yang telah kamu utuskan kepada kami. Kamu tidak mempunyai pemimpin yang dapat memberi petunjuk, dan kami datang kepada kamu. Jika kamu semua mengotakan janji yang dapat menenangkanku, maka aku akan maju. Dan jika kamu semua tidak mengotakan janji itu maka kamu semua termasuk orang-orang yang makar. Aku akan kembali ke tempat di mana aku datang”. Mereka semua terdiam.

Sayyiduna Husain berkata lagi, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua adalah orang-orang yang takut pada Allah dan mengetahui siapa yang lebih berhak. Dan kami adalah Ahli Bait yang lebih berhak untuk berkuasa daripada mereka, orang-orang yang mengaku sesuatu bukan haknya. Orang-orang yang telah mempengaruhi kamu semua dengan permusuhan. Jika kamu semua membenci dan tidak mengetahui hak kami, maka ini bererti kata-kata yang kamu semua tunjukkan tidak sama dengan surat-surat yang kamu kirimkan kepadaku”.

Maka panglima Har dan para pengikutnya mengingkari surat-surat tersebut dan berkata, “Sesungguhnya kami telah diperintahkan untuk membawamu kepada Ibnu Ziyad”.

Sayyiduna Husain ? menjawab, “Lebih baik aku mati daripada menyerahkan diri kepadanya”. Kemudian beliau mengarahkan para sahabatnya agar meneruskan perjalanan, namun panglima Har telah menghalangnya. Kemudian Sayyiduna Husain ? berkata, “Celakalah engkau, apakah yang engkau mahukan?”.

Panglima Har menjawab, “Sesungguhnya kami tidak diperintahkan untuk memerangimu, tetapi kami diperintahkan untuk membawamu kepada Ibnu Ziyad. Maka ambillah jalan yang tidak menuju ke Kufah dan tidak pula menuju ke Madinah. Aku akan menulis surat pada Ibnu Ziyad dan kamu menulis surat pada Yazid dan Ibnu Ziyad. Semoga Allah ? melindungiku dari terlibat dalam perkara ini”.

Dan tiba-tiba muncullah angkatan Umar ibn Sa’ad yang datang dari Kufah dengan bala tenteranya berjumlah 4.000 orang. Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat tanggal 5 Muharram tahun 61 Hijrah. Beliau telah melarang Sayyiduna Husain ? mengambil air minuman kecuali Sayyiduna Husain ? mahu membai’ah Yazid. Mereka menahan rombongan Sayyiduna Husain ? dari mengambil air selama 3 hari sebelum syahidnya Sayyiduna Husain ?.

Kemudian Umar ibn Sa’ad mula bercakap lemah lembut dan mengambil langkah untuk berdamai dengan syarat Sayyiduna Husain mesti mengirim surat kepada Ibnu Ziyad untuk meminta izin. Mendengar perkara itu, Ibnu Ziyad sangat marah dan menolak cadangan itu. Kemudian Ibnu Ziyad menghantar Syamr ibn Zi al Jausyin untuk menyampaikan suratnya pada Amr atas kedongkolannya. Mereka kemudian mengepung rombongan Sayyiduna Husain ? dan memberitahu bahawa Ibnu Ziyad memberikan pilihan antara mahu membai’ah Yazid atau memilih kematian. Beliau memberikan tempohnya sampai esok hari. Sayyiduna Husain ? dan para sahabatnya tidak tidur sepanjang malam itu. Mereka berdoa dan memohon pertolongan Allah ? atas bencana yang akan dihadapi mereka.

Pada keesokkan harinya, Umar ibn Sa’ad sudah menyiapkan pasukan tenteranya untuk berperang. Di pihak Sayyiduna Husain ketika itu terdiri dari 40 perajuit dan 32 pasukan berkuda. Perbezaan yang terlalu ketara jika dibandingkan di pihak musuh yang berjumlah 5.000 bala tentera.

Sayyiduna Husain ? meletakkan mushaf al Quran di tangannya. Kemudian Amr melepaskan panah ke arah Sayyiduna Husain sambil berkata, “Saksikanlah kamu semua, bahawa akulah orang yang pertama melepaskan panah kepada mereka”. Maka terjadilah pertempuran ketika itu. Mereka mengepung Sayyiduna Husain ? dan pasukannya dari segala penjuru. Akhirnya Sayyiduna Husain ? syahid dengan berlumuran darah. Pada jasadnya yang mulia itu terdapat 33 tusukan tombak dan 44 tikaman pedang. Meskipun demikian, beliau tetap bersabar menerima ketentuan daripada Allah ?.

Setiap kali mereka berhadapan dengan wajah Sayyiduna Husain , mereka enggan untuk membunuhnya. Tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari Kandah mendekati Sayyiduna Husain dan memancung kepala cucu Baginda S yang mulia dengan pedangnya.

“Wahai orang yang zalim dan jahil
Tidakkah kau kenal cucu Nabi S
Adakah kau tidak kenal akan matahari
Yang memancarkan cahayanya
Jasad yang mulia rebah ke tanah
Dan berakhirlah ketentuan Allah ”.

Diriwayatkan sewaktu Sayyiduna Husain ingin meminum air, Hasin ibn Tamim melepaskan anak panah ke mulut Sayyiduna Husain , maka mengalirlah darah segar ke tangannya dan beliau berkata:

“Ya Allah! Jika Engkau masih menahan pertolonganMu dari langit, maka berikanlah pada orang yang lebih baik daripada orang itu, dan sakitilah orang-orang yang zalim itu. Ya Allah! Sesungguhnya aku mengadu kepada kamu apa yang telah mereka lakukan kepada cucu NabiMu SAW. Ya Allah! Hitunglah dosa-dosa mereka satu persatu dan bunuhlah mereka sampai tak bersisa seorang pun”.

Syamr kemudian berkata: “Apa yang kamu semua tunggu lagi? Bunuhlah orang ini! Kemudian mereka mengepung Sayyiduna Husain ? dan memancung kepalanya hingga terpisah dari tubuhnya.

Ucapan Husain Sebelum Kewafatannya

Ibnu ‘Asakir dalam kitabnya, al Tarikh al Kabir berkata: “Inilah ucapan Sayyiduna Husain menjelang kewafatannya”.

“Wahai hamba Allah , bertaqwalah kepadaNya, dan berhati-hatilah kamu semua akan tipu daya dunia. Sesungguhnya dunia itu bukanlah tempat yang abadi bagi seseorang atau seseorang itu abadi di dunia, nescaya para Nabi AS lebih berhak untuk tinggal, dan lebih utama dengan kebahagiannya, hanya Allah ? saja menciptakan dunia sebagai tempat ujian, kerana penghuninya pun bersifat fana’, kenikmatannya semua dan kebahagiannya adalah palsu. Mudah mencari bekal namun tidak mudah kekal. Maka carilah bekal kamu semua, dan sebaik-baik bekal adalah taqwa. Bertaqwalah kamu semua pada Allah ? supaya kamu semua menjadi orang-orang yang beruntung”.



Sejarah Wujudnya Kepala Sayyiduna Husain Di Kaherah

Perpindahan Kepala Sayyiduna Husain ke Kaherah Mesir
Tokoh-tokoh sejarawan dan penulis-penulis sirah semuanya telah bersepakat bahawa jasad Sayyiduna Husain ? telah dikebumikan di Karbala’, Iraq. Manakala asalnya kepala Sayyiduna Husain ? dikebumikan di ‘Asqalan. Selepas itu dipindahkan ke Mesir. Pendapat ini telah didokong dan dikuatkan tokoh-tokoh sejarahwan seperti Ibnu Maisir, al Qalqasyandi, Ali ibn Abu Bakar yang lebih dikenali as Sayih al Hirawi, Ibnu Iyas dan Sibth al Jauzi.

Di antara yang berpendapat kepala Sayyiduna Husain dikebumikan di Kaherah ialah sejarawan besar iaitu Uthman al Mudawakh. Beliau menyatakan ada tiga buah tempat maqam kepala Sayyiduna Husain ? ini yang sentiasa diziarahi sampai ke hari ini.

1. Maqamnya terdapat di Damsyik, Syria iaitu tempat yang pertama sekali kepala Sayyiduna Husain dikebumikan.

2. Maqamnya di ‘Asqalan iaitu sebuah negeri di tepi Laut Tengah. Di situlah terdapatnya maqam kepala Sayyiduna Husain sebelum dipindahkan dari Damsyik.

3. Akhirnya kepala Sayyiduna Husain yang mulia dipindahkan dan dikebumikan di Kaherah, Mesir iaitu di kawasan antara Khan Khalili dan Masjid al Azhar.

Imam al Maqrizi mencatatkan bahawa kepala Sayyiduna Husain dipindahkan dari ‘Asqalan ke Kaherah pada tanggal 8 Jamadil Akhir 548 Hijrah dan dikebumikan dalam Istana Zamrud. Selepas satu tahun kemudian barulah dibina sebuah kubah khusus untuk maqam Sayyiduna Husain ?.

Senarai Ulama’-Ulama’ yang menyatakan wujudnya kepala Husain di Kaherah.
Inilah Maqam Saidina Husin


Di dalam kitab Bahrul al Ansab disebutkan, al ‘Allamah al Syubrowi, bekas Syeikhul al Azhar telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk al Ithaf. Dalam kitab tersebut Syeikh al Syubrowi telah membuktikan tentang kebenaran wujudnya kepala Sayyiduna Husain ? di Kaherah. Beliau juga menyenaraikan senarai nama ulama’-ulama’ yang menyokong wujudnya kepala Sayyiduna Husain ? di Kaherah. Mereka adalah:

1. Imam al Hafiz Zakiuddin al Munziri
2. Imam al Hafiz Ibnu Dahyah
3. Imam al Hafiz Najmuddin al Ghaithi
4. Imam Majduddin ibn Uthman
5. Imam Muhammad ibn Basyir
6. Qadhi Muhyiddin ibn Abdul Qadir
7. Qadhi Abdur Rahim
8. Syeikh Abdullah ar Rifa’i
9. Syeikh Ibnu an Nahwi
10. Syeikh al Quraisyi
11. Syeikh as Syabalanji
12. Syeikh Hasan al ‘Adawi
13. Syeikh al Allamah Sya’rani
14. Syeikh al Manawi
15. Syeikh as Shabban
16. Syeikh al Allamah al Ajhuri
17. Syeikh Abu Mawahib Tunisi
18. Syeikh Abu Hasan Tammar
19. Syeikh Syamsuddin al Bakri
20. Syeikh Karimudin al Khalwati

Ulama’-ulama sufi juga mengatakan sesungguhnya memang wujud kepala Sayyiduna Husain di Kaherah. Tidak mungkin ulama’-ulama’ kesemua ini akan bersepakat untuk berdusta dalam masalah perselisihan ini. Dan pendapat ini disokong pula tokoh-tokoh ahli sejarah yang telah disebutkan di atas.
Pendapat Dr. Husaini Hasyim

Sejumlah besar tokoh sejarahwan telah bersepakat sesungguhnya memang wujud kepala Sayyiduna Husain di Mesir. Di antaranya adalah Ibnu Iyas dalam kitabnya, al Qalqasyandi dalam Subhul al A’sya dan al Maqrizi yang telah mengkhususkan satu bab untuk masalah ini dalam tulisannya yang bertajuk al Mawa’idh wa al I’tibar.

Pada halaman 427, 428 dan 430 dalam kitabnya itu, al Maqrizi menuliskan sokongannya terhadap riwayat Ibnu Muyassar yang menyatakan bahawa al Afdhol ibn Amirul Juyus, Panglima Badr al Jamail adalah orang yang membawa kepala Sayyiduna Husain ? dalam pelukannya dengan berjalan kaki dari ‘Asqalan hingga ke Mesir pada hari Ahad 8 Jamadil Akhir 548 Hijrah.

Kepala Sayyiduna Husain kemudiannya dikebumikan di maqamnya dalam Istana Zamrud pada hari Selasa 10 Jamadil Akhir 548 Hijrah. Istana Zamrud kemudian bertukar menjadi Masjid Sayyiduna Husain ? sehinggalah ke hari ini. Imam as Sakhawi juga ada menyebutkan riwayat perpindahan kepala Sayyiduna Husain ? yang mulia ke Mesir.

Pendapat Rasmi dari Fakulti Kesan-kesan Peninggalan Sejarah

Professor ‘Athiah Syathwi adalah merupakan seorang penyelidik kesan-kesan sejarah yang masyhur. Beliau juga dilantik secara tetap untuk mengawasi pembinaan dan pembaharuan maqam Sayyiduna Husain ?. Beliau mengemukakan pendapatnya demikian:

Fakulti Peninggalan-peninggalan Sejarah mempunyai bukti-bukti dan hujah yang kuat dengan mengatakan orang yang membawa kepala Sayyiduna Husain ? dari ‘Asqalan adalah Amir Saiful Mamlakah Tamim, beliau merupakan pemerintah di ‘Asqalan. Beliau membawa kepala Sayyiduna Husain ? ke istana pada hari Selasa 10 Jamadil Akhir tahun yang sama 2 September 1153 Masihi.

Imam al Maqrizi menceritakan: “Kepala Sayyiduna Husain kemudian dibawa oleh Ustaz Maknun dengan diiringi oleh khadam-khadam yang berumur 10 tahun. Kepala Sayyiduna Husain ? yang mulia dibawa menuruni taman serta dibawa ke bilik bawah tanah di dalam Istana Zamrud. Kemudian kepala yang mulia itu dikebumikan di tempat maqam Sayyiduna Husain ? sekarang”.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ayyubiah, Abul Qosim ibn Yahya ibn Nasir al Sukari telah membina sebuah menara di pintu maqam Sayyiduna Husain ?. Menara yang dibangunkan pada tahun 634 Hijrah bersamaan 1236 Masihi ini dihiasi dengan tulisan khat kaligrafi Arab yang diperbuat dari kapur batu serta lukisan dan corak yang indah. Menara ini sekarang sebahagiannya sudah runtuh, yang ada hanya tinggal sebahagian sahaja dasarnya. Di situ kita boleh melihat dua papan yang ditulis tarikh pembinaannya. Bahagian dasarnya itu sudah diperbaiki dan ada di tempatnya sampai ke hari ini.

Maqam Sayyiduna Husain pernah terbakar pada 640 Hijrah di zaman pemerintahan Najmuddin Ayyub, merupakan seorang raja yang soleh. Selepas itu beliau mengarahkan Qodhi Abdur Rahim al Bisani memperbaiki dan membina maqam ini serta meluaskan kawasannya dan ditambah tempat berwudhu’serta tempat kincir air. Qodhi Abdur Rahim juga mewakafkan hasil-hasil tanah yang berada di luar kawasan maqam Sayyiduna Husain ? untuk pembinaan maqam tersebut. Sebahagian ahli sejarah meriwayatkan bahawa orang yang membakar maqam Sayyiduna Husain ? adalah orang-orang Yahudi di Mesir.

Penambahan dan perluasan maqam Sayyiduna Husain ? terus dibina sehingga pada zaman Amir Abdur Rahman Katakhda. Beliau telah membuat banyak perubahan, pembaikan dan pembinaan maqam Sayyiduna Husain ?. Masjid Sayyiduna Husain ? dibangunkan kembali pada tahun 1175 Hijrah dan ditambah sebuah tangki air yang besar serta pancutan air untuk masjid. Di dalam bahagian Masjid pula dibina dua ruangan besar. Manakala pengurus dan penjaga Masjid diberikan gaji yang lumayan dalam menguruskan Masjid ini. Perkara ini berterusan sehingga tahun 1206 Hijrah.

Apabila Sultan Abdul Aziz berkunjung ke Mesir pada tahun 1279 Hijrah dan menziarahi maqam Sayyiduna Husain, Khidiv Isma’il telah mengarahkan rakyat untuk membina dan menyiapkan maqam Sayyiduna Husain dalam bentuk yang paling sempurna dan indah. Pembinaan kali ini memakan waktu yang agak lama iaitu 10 tahun dan akhirnya selesai pada tahun 1290 Hijrah. Sementara menara yang terletak di masjid didirikan pada tahun 1292 Hijrah.

Pada tarikh 23 Julai tahun 1952, kerajaan Mesir telah membuat satu perubahan yang ketara pada Masjid Sayyiduna Husain dengan meluaskan lagi kawasan dan dalam masjid serta dibentangkan permaidani yang baru. Pengubahsuaian ini bermula pada 1959 Masihi dan selesai pada tahun 1963 Masihi dengan memakan belanja sebanyak 83.000 genih.

Pendapat Muktamad Dr. Su’ad Mahir

Dalam karangan beliau yang bertajuk Al Aulia Allah wa al Solihun, beliau telah membawa satu bukti yang kukuh bagi menjelaskan kekeliruan orang tentang wujudnya kepala Sayyiduna Husain yang mulia di Kaherah.

Di dalam kitab al ‘Adlu al Syahid fi Tahqiq al Masyahid menceritakan: “Pada tahun 175 Hijrah, Abdur Rahman Katakhda al Qazadghali mengambil keputusan untuk meluaskan kawasan Masjid yang berhampiran dengan maqam Sayyiduna Husain ?. Dikatakan kepadanya: Maqam ini tidak terdapat bukti adanya kepala Sayyiduna Husain ?, maka beliau mahu membuktikan akan betulnya dakwaan itu. Lantas dibuka maqam itu dengan dihadiri oleh orang ramai dan turunlah Syeikh Jauhari as Syafi’i dan Syeikh al Malawi al Maliki, iaitu dari kalangan ulama’ besar yang beramal dengan ilmunya”.

Kedua ulama’ ini telah melihat akan apa yang ada di dalam maqam, kemudian kedua ulama’ ini muncul dan memberitahu apa yang telah mereka saksikan. Di maqam itu ada kerusi yang dihiasi dengan emas dan di atasnya terdapat tirai daripada sutera hijau dan di bawahnya terdapat bekas daripada sutera hijau yang tinggi mutunya dan di dalamnya terletak kepala Sayyiduna Husain yang mulia.

Bukti yang lain pula, Allah ? telah memperlihatkan hujah untuk melemahkan pendapat orang yang mengatakan tidak ada kepala Sayyiduna Husain di Kaherah. Di Muzium Inggeris, London ada menyimpan sebuah manuskrip Tarikh al Amid karangan Ibnu al Auraq yang wafat pada 572 Hijrah. Karangan itu ditulis pada 560 Hijrah, yakni 12 tahun sebelum pengarangnya wafat dan ditasjil di muzium ini dengan nombor 5803/oriental.

Inilah bilik yang bersebelahan dengan maqam Saidina Husin yang mana terdapat janggut Nabi,tongkat, pedang dan lain-lain.



Pengarang kitab sejarah ini membuktikan dengan cara yang menyakinkan bahawa kepala Sayyiduna Husain telah dipindahkan dari ‘Asqalan ke Mesir pada tahun 549 Hijrah. Tambahan pula pengarang kitab, Ibnu al Auraq ini yang turut serta menyambut kedatangan kepala Sayyiduna Husain ? yang mulia itu.

Berkata Ibnu al Jauzi: Di tempat mana pun kepala atau jasad Sayyiduna Husain berada, yang penting ia sentiasa bersemayam di setiap hati kita dan bertempat di segenap suara kalbu dan lintasan jiwa.

Inilah mimbar di Masjid Saidina Husin sekarang