Sunday, February 13, 2011

ismuhu AHMAD S.A.W

sisipan
Muhammad telah lahir
Muhammad telah lahir
Muhammad telah lahir

Benarlah firasat bondamu,Aminah
jua ramalan Si Rahib Yahudi dan Nasrani
termaktub di dalam Al-Quran Nul Karim
yang mendokan keturunan kelahiran barkah
penuh kemuliaan dan keajaiban
penyambung waris kenabian
yang mengharapkan kebaikan dari Tuhanmu
bagai menatang minyak yang penuh.


Hadirmu di Semenanjung Arabia
membuka segala kolong langit jahiliah
mengegarkan istana Kisra
hingga retak dinding
dan roboh menaranya
padamnya obor api di kuil Majusi
keringnya air di tasik sawah
runtuhnya al Lata dan al Uzza di pinggir Kaabah
lantaran nurmu melimpah menerangi
membuka membawa sejarahperadaban baru manusia
menembusi ufuk dunia dari ufuk Timur dan Barat.

Dewasamu dalam tatangan kasih bonda
juga ibu susuan mu, Suwaibah dan Halimah
jauh tinggal di luar kota
menyedut nafas segar gurun
belajar tutur arab belum tercela
mengadun dan terangkum sifat mulia
kebahagiaan dan kemakmuran
kelembutan dan kesabaran
ternukil agung dalam Sirah Nabawiyahmu.


Lima tahun di Gurun Pasir Sahara
penuh kurnia dan kerahmatan
peristiwa ganjil terukir
belahan dada membasuh menjernih jiwamu
dari titik-titik noda dan pesona dunia
dengan kemilau pisau emas, air zam-zam
dan sebentuk cincin bercahaya.


Remajamu, Ya Rusulullah
kuntum hayat dan fikirmu penuh luhur
tika ziarah ke makam ayahandamu Abdullah
ada sedih menerjah jiwa lantaran sorot sirah
duka bertambah kewafatan bonda di Abwa’
menggemis kasih Si Yatim Piatu , Abdul Mutallib nenekanda tercinta
tempat berlindung dan bersandar
dalam jaminan Kasih dan Rahim Allah.

Kau kira panas sampai ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari
Lapan tahun usiamu,
datukmu menghadap Illahi
dalam kesedihan bertimpa-timpa
tangis esakmu hingga ke makam nenekanda
tanda kasih sayang yang tak pernah surut
dan lurut dari jiwa sucimu.

Semua perjalan sirahmu
mendewasakan dan memperkasakan hayat
menahan dan menangkis panah perang Fujjar
hinggalah menjadi panglima melawan Hawazan
titik perjuangan kemenangan menentang
kekufuran dan pengkhianatan.


Allah Maha Agong Maha Mengetahui
deritamu bukan kekal abadi
dari pengembala biri –biri
meluaskan usaha perniaga jujur bebudi
disenangi, bijaksana dan dihormati
jolokan Al-Amin namamu gah terperi
Saidatuna Khadijah terpaut hati
wanita pertama terima syiar Islami
menjadi penyeri keluarga Jannati
bertambah terserlah syirrmu di bumi Allah.



27 Rejab kerasulanmu,Jibril datang bertamu
memikul amanah menegakkan daulah Islamiyah
dalam ketar dan takutmu Wahyu Iqra’
peluh di dahi semasa di gua Hiraq
berlari pulang dan berselimut
Khadijahlah penenang dan penyejuk jiwa
tika ummatmu menyisih mencela
ada nasihat dikata ada janji dikota
siyasah sya’iyyah penuh hikmah
awal dakwah melerai kebuntuan ummah
Ali,Al-Arqam, Abu Bakar, Usman,Talhah, Ubaidullah, Zaid
dan Abdullah Rahman antara pelopor Jamaah.

Ya Rusullullah Ya Habiballah
pahit menjadam kejian kau telan
tohmahan dan muslihat bijak kau leraikan
dikaulah panglima pemimpin terulung
dalam perang menjulang syahadah nan Agong
demi cintamu pada kebenaran
demi cintamu pada kedamaian
demi cintamu pada kesaksamaan
dan demi cintamu pada pada Ya Rahman.

Ya Mustofa Ya Habiballah
sarat geringmu Ya Rusullulah
ada tabah yang kau papah
ada sabar yang kau mamah
ada amanat yang kau seru
seluruh Alam kelam dan membisu
seakan-akan berduka saat keberangkatanmu
syaidatuna Aisah, anak dikasihi memangku
meninggalkan wasiat dan titip pesan
untuk anak dan ummatmu tercinta
-berpeganglah kitabullah
-peliharalah solatmu
-jaga makan dan pakaimu
dan beramahlah dalam pergaulanmu.


Ya Habiballah Ya Rusullulah
cinta dirimu terhadap ummatmu
saat sakratul saat Izrail menarik nyawa
pedih perit yang kau tahan
tika nyawa di penghujung hayatmu
masih sempat kausebut
“Ummati, Ummati, Ummati”
tanda kasih penuh erti
tanda kenangan terpatri abadi.

Ya Rusullah Ya Habiballah
Ya Mustofa Ya Habiballah
moga kau syafaatkan ummatmu
moga tenang bersemadi
moga aman di taman Illahi
moga damai di Syurga Fifdausi.
Itulah doa ummatmu.