Tuesday, June 12, 2012

Kontrak Cinta Sejati

Sekeping hati. Teruji. Kehadiranmu insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman. Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan. Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan.



Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan. Namun, tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian. Dicantas tegahan dan mundur segala keriangan.

Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan, kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan. Namun, kita harus percaya pada takdir dan ketentuan.

Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita, apa pun ujian yang datang. Takdir itu tetap menjadi noktah! Walaupun seluruh makhluk cuba merungkaikannya namun Allah tetap tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki takdir itu. Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita.

Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian. Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya. Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari suram. Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap godaan. Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Sapulah air mata yang terbit dari rasa kecewa. Kau terluka dan merana, tentunya Dia mengetahuinya. Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan reda. Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya. Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya.

InsyaAllah. Yakini bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan insan. Yakinlah dengan kekuatan doa yang tulus mampu mengubah segala-galanya.