Tuesday, August 06, 2013

Profesor Sunni masuk Syiah tetapi keluar Syiah akhirnya


Seorang bekas pengikut Syiah mengakui fahaman tersebut menyeleweng dari sudut akidah, khususnya amalan nikah muta’ah dan konsep imam 12. Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohamed Ajmal Abdul Razak al-Idrus berkata, selama lima tahun menjadi pengikut Syiah, beliau juga mendapati para pengikut fahaman itu terlalu mengabaikan ibadah. Atas sebab itu katanya, beliau mengambil keputusan meninggalkan fahaman tersebut dan kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. “Saya menjadi pengikut Syiah ketika berusia lingkungan 20-an dan pada masa itu masih belajar di Amerika Syarikat (AS). Saya tertarik dengan Revolusi Iran pada tahun 1979 yang dianggap berjaya mengangkat martabat maruah Islam. “Namun dalam tempoh saya di dalam Syiah, didapati ada perkara-perkara yang saya tidak boleh terima dan tidak logik, antaranya nikah muta’ah dan konsep imamah. Paling menyedihkan mereka terlalu mengabaikan ibadah khusus kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini. Mohamed Ajmal berkata, rata-rata pengikut tidak tahu tentang solat, puasa dan ekoran itu mengambil keputusan keluar daripada terus mengikuti fahaman itu. “Apabila ditanya tentang ibadah khusus kepada Allah SWT, mereka tidak tahu tetapi apabila ditanya perbezaan fikrah sunni dan Syiah, mereka tahu dengan mendalam. “Solat mereka pun berbeza dengan kita. Memang solat mereka lima kali tetapi boleh ditunaikan dalam tiga waktu. subuh satu waktu, zuhur dan asar dijamakkan, begitu juga maghrib dan isyak juga boleh dijamakkan,” katanya lagi. Mengenai nikah muta’ah, beliau berkata, amalan tersebut tidak masuk akal kerana pasangan boleh berkahwin dalam tempoh lima atau 10 atau 15 minit tanpa perlu saksi. Lebih malang lagi ujarnya, amalan itu terus berlaku sehingga sekarang. “Bagi saya nikah cara ini merupakan lesen kepada seorang lelaki untuk tidur dengan sesiapa sahaja. Adakah ini yang kita mahukan? “Saya juga percaya imam- imam besar Syiah ini tidak akan benarkan anak perempuan mereka dinikah secara muta’ah dengan mana- mana lelaki,” katanya. Mengenai konsep imam 12, beliau berkata, akal juga sukar untuk menerima konsep imam ghaib yang kini terus menjadi pegangan kepada pengikut Syiah. “Konsep imam 12 ini juga berlaku penyelewengan besar, sebab itu saya tidak boleh terima pegangan mereka yang mengangkat manusia lain lebih tinggi berbanding para sahabat Rasulullah,” katanya lagi. Mohamed Ajmal turut mendedahkan tentang kesanggupan Syiah mengeluarkan dana besar untuk menaja mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi pengikut fahaman itu. “Saya pernah melalui pengalaman itu yang mana saya dan rakan-rakan ketika menyertai satu persidangan (Syiah), mereka telah memberikan buku-buku secara percuma. “Bayangkan ketika menuntut di universiti, kami mana ada duit untuk bayar yuran persidangan, menempah hotel, makan dan minum yang semuanya dibiayai oleh mereka,” ujarnya. Sementara itu beliau berkata, penularan ajaran Syiah dikhuatiri akan mendatangkan ancaman militan kepada tanah air sekiranya dakyah itu tidak dibendung bermula daripada sekarang. “Situasi berkenaan boleh berlaku jika wujud pertembungan antara fahaman, lebih-lebih lagi umat Islam Malaysia yang berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, sekali gus membawa kesan buruk kepada keamanan negara. “Syiah mengamalkan ekstremis dan antara salah satu bukti boleh dilihat daripada perbuatan mereka ketika menyambut hari Asyura iaitu mencederakan diri sendiri, selain bersikap ganas,”