Monday, August 24, 2015


kenyataan Media Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Memperkasakan Agenda Kongres Rakyat Prinsip asas Islam ialah wajib menentang segala bentuk kemungkaran sama ada kemungkaran sosial, ekonomi mahupun kemungkaran politik melibatkan ketidaktelusan dan penyelewengan pemerintah semasa. Malah menjadi satu jihad berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim sebagaimana Hadis Nabi saw إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ Bermaksud; Antara seagong-agong Jihad kalimah yang benar lagi adil berhadapan pemerintah yang zalim". PAS secara tegas dan berprinsip melaksanakan tugasan ini sejak penubuhannya 1951 tanpa mengenal erti penat dan letih dengan penuh kesabaran dan ketelitian dalam merangka strategi dan pendekatan meskipun berhadapan dengan pelbagai tekanan oleh pihak berkuasa. Bagi seorang Muslim, menentang kemungkaran pula tidak boleh hanya diasaskan kepada kebencian individu dan emosi semata-mata. Ia mesti bermula dengan prinsip "membenci kerana Allah dan menyukai kerana Allah". Justeru, jihad menentang kemungkaran dalam Islam mempunyai tatacara, kaedah dan prinsip yang hanya akan dipatuhi oleh mereka yang menentang kemungkaran atas prinsip Islam. Tidak wajar kemungkaran ditegah dengan melakukan kemungkaran yang seumpamanya. Tidak wajar juga dihilangkan satu kemungkaran lalu digantikan pula oleh kemungkaran yang lain. Menjatuhkan kerajaan sekuler demokratis bukan dengan tujuan diganti oleh satu lagi parti sekuler seumpamanya atau lebih teruk daripadanya iaitu sekuler sosialis. Tetapi dengan niat ianya digantikan dengan kuasa politik Islam. Kita juga menolak sebarang usaha menentang kemungkaran yang sebenarnya hanyalah menjadi topeng untuk agenda tersirat oleh kuasa luar atau yang menjejaskan kuasa Islam jangka masa panjang. Dalam menghadapi situasi politik semasa yang menyaksikan kerajaan persekutuan berada dalam keadaan goyah dengan lingkaran pelbagai isu dan skandal maka PAS mengambil pendekatan melaksanakan Kongres Rakyat yang melibatkan rakyat pelbagai pihak khususnya badan-badan dan pertubuhan bukan kerajaan. Seluruh tenaga PAS akan dihalakan untuk memperkasakan agenda ini tanpa perlu terpalit dengn sebarang agenda yang berkemungkinan didalangi oleh pihak luar dan mempunyai niat tersirat yang boleh merosakkan agenda Islam untuk jangka masa panjang. Sekian. Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri 9 Zulkaedah 1436 H / 24 Ogos 2015 (Algeria; seusai pertemuan dengan pimpinan utama parti Gerakan Masyarakat Sejahtera)

Wednesday, August 12, 2015

64 tahUn berbakti @ pentas iLmu


64 tahun PAS berbakti di medan ilmu Pendidikan yang dianjurkan oleh PAS dan institusi pengajian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara itu. Oleh kerana PAS merupakan sebuah parti yang berpegang kepada dasar Islam, menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan memperjuangkan cita-cita untuk menegakkan Islam, maka konsep Falsafah Pendidikan Islam juga perlu ditinjau dalam memahami usaha-usaha PAS. Kedudukan Islam sebagai dasar perjuangan PAS telah mepengaruhi sepenuhnya pemahaman dan pemlkiran PAS tentang konsep pendidikan yang dipersembahkan kepada rakyat negara ini. Hal ini selaras dengan tujuan PAS yang disebut dalam Fasal 6(2) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2001 yang menegaskan salah satu tujuannya. PAS telah merangka dan merancakkan pendidikan sebagai wahana untuk mengembangkan pengaruh terhadap masyarakat di luar kelompok parti itu serta obligasi sosialnya dalam usaha memenuhi perlembagaan parti itu sendiri. Ianya juga akibat keperluan parti itu untuk menyediakan pendidikan untuk anak-anak ahli parti kerana sentiasa didesak untuk mewujudkan institusi pendidikan oleh ahli-ahli di semua peringkat. PAS menganggap menyediakan pendidikan Islam kepada rakyat merupakan tuntutan fardhu kifayah dan sebahagian tuntutan beragama yang mesti dipenuhi, terutama PAS sebagai Gerakan Islam dan juga sebagai pertubuhan siasah di negara ini. Boleh dibuktikan dengan kajian ini pertambahan institusi pendidikan PAS telah meningkat dan berlaku setiap tahun. Bermula dari pra sekolah sehinggalah peringkat universiti. Pengkaji mendapati organisasi terlibat dalam merangka kurikulum dan memantau institusi pendidikan dalam PAS seperti Majlis Pendidikan, Pasti, Majlis DAR, Musasah Pendidikan, Lujnah Pendidikan dan sebagainya. PAS telah menyusun dan sentiasa mengambil langkah memperkemaskan usaha-usaha parti tersebut untuk membangunkan institusi pendidikan di bawah seliaanya dan juga merespons isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan di negara ini. Dalam kajian ini pengkaji telah melihat usaha-usaha ini yang terusun dan terancang dalam membentuk kitaran pendidikan untuk ahli dan masyarakat luar kerangka konsep dalam kajian mengambil kira dua faktor yang mendorong PAS mengambil tanggungjawab dan inisiatif dalam membangunkan masyarakat melalui sektor pendidikan. Bertolak daripada matlamat pendidikan Islam yang menekankan modal insan itu harus dibangunkan dalam bentuk yang menyeluruh yang dapat memenuhi keperluan dunia dan akhirat. Untuk merealisasikan misi dan visi yang holistik ini, PAS telah mewujudkan ruang untuk anak-anak ahlinya serta masyarakat untuk menimba ilmu daripada institusi pendidikan yang diwujudkan bermula daripada Pasti sehingalah kepada kolej universiti. PAS menjalankan usahanya secara berterusan untuk membina, menggerak dan menjalankan programnya dalam bidang pendidikan. PAS cuba meletakan tanggungjawab parti itu dalam bidang pendidikan dan diberikan penegasan dalam setiap kali muktamar tahunan parti tersebut. Keterlibatan mereka dalam bidang pendidikan dilihat sebagai tuntutan fardhu kifayah, bagi memenuhi tuntutan agama Islam. Apatah lagi parti itu merasakan bahawa yang dibuat oleh pihak kerajaan tidak mencukupi untuk membentuk masyarakat dan generasi muda yang memahami Islam secara komprehensif. Sekurang-kurangnya melalui institusi pendidikan yang ditawarkan oleh PAS membuka luas pendemokrasian pendidikan di negara kita, yang sangat terbatas sekolah-sekolah agama. Lantaran itu PAS mengambil langkah yang sistematik dan berperingkat bagi menyediakan kegiatan pendidikannya bermula dengan pra sekolah, sekolah rendah Islam, sekolah menegah Islam, sehinggalah ke universiti. Dengan erti kata lain PAS mengerakkan pendidikan secara formal dan tidak formal, bersijil dan tidak bersijil, PAS juga telah menyediakan satu rantaian pendidikan yang juga memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke satu peringkat yang lain. Lulusan dari pedidikan PAS yang sebahagiannya menggunakan peperiksaan awam negara ini, ataupun yang tidak mengunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh kementerian seperti Maahad Darul Quran, Rusila akhirnya turut meyumbang kepada pembangunan negara apabila lepasan pendidikan ini berkhidmat di sektor awam ataupun swasta. Maknanya, lulusan dari institusi pendidikan PAS turut menyumbang untuk membina negara dan saling melengkapi bagi menampung kekurangan sistem pendidikan negara ini terutama melahirkan ramai pelajar pengajian Islam. Inilah perubahan dan tranfomasi yang dijalankan oleh PAS dalam menggerakkan sumbangan terhadap pendidikan dalam negara ini, sesuatu yang berharga dalam membina peradaban bangsa. Dalam usaha PAS paling serius untuk mengerakkan pendidikan, maka parti itu telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS, sebuah majlis yang bertindak untuk memantau dan mengelola pendidikan yang bersangkutan dengan PAS. - HARAKAHDAILY 12/8/2015 Penulis adalah AJK PAS Pusat dan AJK Lajnah Politik PAS Pusat.