Friday, March 25, 2016

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram berkuat kuasa serta-merta. KDN pastinya mempunyai alasan kukuh mengapa pertubuhan itu perlu diharamkan

BH 28Julai2013
Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram berkuat kuasa serta-merta. KDN pastinya mempunyai alasan kukuh mengapa pertubuhan itu perlu diharamkan. Sebelum ini pun, ada gesaan dan desakan kuat daripada masyarakat termasuk tokoh agama, ulama’ dan mufti negeri supaya kerajaan tidak membenarkan fahaman Syiah berkembang dan diamalkan di negara ini. Antara alasan utama yang diberikan ialah fahaman dan ajaran Syiah adalah sesat dan bertentangan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan utama umat Islam. Wartawan BH, Mohd Anwar Patho Rahman menemubual Ketua Unit Kajian Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohamad Ismail bagi memberi gambaran sejauh mana gerakan Syiah boleh memudaratkan ketenteraman awam dan menggugat perpaduan umat Islam di negara ini.
Wartawan:  Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu lalu mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia berkuat kuasa serta merta pada Rabu lalu. Sebelum mengulas lebih jauh keputusan itu dan kaitannya dengan fahaman Syiah, boleh saudara jelaskan sejarah kemunculan fahaman Syiah di negara ini?
Mohamad Ismail:  Saya boleh katakan begini. Sejarah bertapaknya Syiah di Malaysia ialah selepas tercetusnya Revolusi Iran 1979 pimpinan Ayatollah Khomenei menumbangkan pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlavi atau Shah Iran. Sekitar 1980-an itulah bibit-bibit fahaman Syiah mula masuk ke negara ini. Ketika itu, media Barat cukup hebat memainkan propaganda mengangkat imej Ayatollah sebagai pemimpin pembaharuan Islam dan memberi gambaran beliau pemimpin Islam hebat serta perlu diikuti dunia Islam.
Hasilnya, umat Islam seluruh dunia terpengaruh dengan propaganda ini termasuk di Malaysia. Ia boleh dilihat apabila ada orang Islam di Malaysia pada waktu itu yang terpengaruh dengan Revolusi Iran memberi nama Ayatollah Khomeni dan Rafsanjani pada anak mereka kerana menganggap ia bapa gerakan kebangkitan Islam dunia. Iran pula ketika itu dilihat memusuhi Amerika Syarikat (AS), maka bertambahlah rasa taksub kepada gerakan Islam di Iran. Selepas Ayatollah menjadi Presiden, beliau menjemput ramai pemimpin Islam seluruh dunia terutama pemimpin parti dan pertubuhan Islam untuk bertemu dengannya.
Dari Malaysia, ada beberapa pemimpin Islam yang memenuhi jemputan itu termasuk dari PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan UMNO. Saya tahu siapa yang pergi tetapi tidak perlu saya sebutkan. Beberapa tahun selepas Revolusi Iran, ada orang kita menghantar anak-anak mereka belajar di Iran kerana terpengaruh dengan Revolusi Iran. Masa itu umat Islam di sini tidak begitu sedar Revolusi Iran itu adalah satu agenda untuk menonjolkan fahaman Syiah. Apabila anak-anak ini pulang, mereka mula membawa fahaman Syiah ke Malaysia. Pada saya, itulah bermulanya fahaman Syiah mula muncul di negara ini. Masa itu, kita tidak sedar Iran, negara yang berpegang kepada fahaman Syiah Imamiah adalah ancaman terbesar akidah kepada seluruh dunia Islam yang berpegang dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.
S:  Selepas fahaman Syiah muncul di negara, bilakah pula berlakunya gerakan menyebar dan mengembangkan fahaman Syiah secara terancang di negara ini?
J: Ia bermula sekitar 1990-an dan berkembang di Universiti Malaya (UM) kerana ramai lepasan institusi dari Iran yang sudah terpengaruh dengan fahaman Syiah kembali ke tanah air bekerja dan bertugas di situ. Mereka yang pulang dari Iran inilah yang menyebar dan menyerapkan pengaruh serta ideologi Syiah kepada golongan pelajar dan di Malaysia. Mujur juga pada waktu itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberi muka kepada penganut Syiah. Beliau amat tegas membanteras penyebaran fahaman Syiah.
Pada zaman pemerintahan beliau, ramai pemimpin Syiah ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Maka, gerakan penyebaran Syiah menjadi terkawal walaupun masih dilakukan secara senyap dan tertutup. Dalam hal ini, kita perlu melihat kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1985 yang mewartakan hanya fahaman Syiah Zaidiyah dan Jaafariyah saja dibenarkan diamalkan  di Malaysia. Akan tetapi selepas 3 Mei 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan semua ajaran Syiah tanpa mengira kumpulan diharamkan sepenuhnya di Malaysia. Justeru, apabila KDN mengumumkan Syiah diharamkan di negara ini, kita mahu supaya individu yang terbabit secara langsung dengan Syiah ditahan atau ditangkap supaya dapat mengekang penyebaran fahaman itu. Kerajaan perlu tegas dalam tindakannya kali ini demi menjaga akidah umat Islam, perpaduan umat dan keselamatan negara.
S:  Ada umat Islam di Malaysia yang bertanya, mengapa fahaman dan ajaran Syiah perlu ditolak, sedangkan mereka juga beragama Islam dan amalan mereka tidak nampak berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau fahaman lain?
J:  Banyak sebab mengapa fahaman Syiah perlu ditolak dan diharamkan kerana ajarannya menyeleweng, menyimpang daripada ajaran Islam sebenar serta boleh menimbulkan bahaya kepada umat Islam. Kalau kita kaji kitab tulisan pemimpin Syiah, kita akan dapati ajarannya merosakkan akidah umat Islam. Sebagai contoh, Syiah menetapkan syarat sah solat ialah wajib beriman kepada Saidina Ali bin Abi Talib dan 12 imam besar mereka. Orang Syiah juga hanya menunaikan solat tiga kali setiap hari kerana menghimpunkan waktu Zuhur dengan Asar serta Maghrib dengan Isyak. Syiah menyanjung Saidina Ali berlebih-lebihan sehingga tarafnya disamakan dengan Rasulullah SAW. Bahkan dalam beberapa hal, Saidina Ali dianggap lebih tinggi berbanding Nabi Muhammad SAW. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Usul Min Kafi karangan al-Kulaini. Malah, golongan Syiah menambah nama Saidina Ali dalam syahadah selepas nama Nabi Muhammad SAW.
Syiah juga meyakini bahawa imam mereka terpelihara daripada dosa kecil dan besar daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah meninggal dunia. Kedudukan mereka juga disamakan seperti Nabi diutuskan Allah. Perkara ini dijelaskan dalam Kitab Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar. Golongan Syiah turut mempercayai selepas Rasulullah SAW wafat, semua sahabat Baginda khasnya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman ibnu Affan menjadi murtad. Syiah juga mengamalkan al-Taqiyyah iaitu menyembunyikan sesuatu yang boleh membahayakan diri atau harta bendanya dengan melahirkan yang bukan hakikat sebenar daripada kandungan hatinya. Maknanya, kalau golongan Syiah ini berada dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka akan berpura-pura menjadi ahli Sunnah, beramal sama seperti yang ahli Sunnah lakukan bagi mengelak identiti dan fahaman Syiah mereka terdedah. Ini dinamakan pembohongan agama yang terang-terangan tidak boleh diterima dalam Islam. Sebab itu fahaman Syiah ini perlu ditolak kerana ia sesat. Bahkan dalam aspek tertentu, pengaruh Yahudi dan Kristian meresap dalam fahaman dan amalan Syiah yang amat bertentangan dengan ajaran Islam disepakati Ahli Sunnah Wal Jamaah.
S:  Pada 6 Jun 2011, Majlis Syiah Malaysia menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri meminta agar semua warta pengharaman Syiah dikaji semula dan dimansuh pada peringkat negeri dan kebangsaan. Dalam memorandum itu, mereka mendakwa fahaman Syiah sudah lama wujud dan diamalkan di negara ini iaitu sebelum kehadiran penjajah Eropah lagi. Apa pandangan saudara dalam hal ini?
J:  Jika orang Syiah mendakwa fahaman Syiah sudah lama bertapak di Malaysia termasuk di Nusantara sebelum kehadiran penjajah Eropah, mereka perlu kemukakan fakta yang boleh membuktikan dakwaan mereka.  Timbul persoalan, jika benar ajaran dan fahaman Syiah sudah lama bertapak di Nusantara, mengapa pada hari ini majoriti umat Islam di rantau ini berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bukan mengikut fahaman Syiah.
S:  Ada pihak mendakwa, kemunculan gerakan yang menuntut supaya fahaman Syiah dibenarkan untuk disebar dan diamalkan di Malaysia tanpa sebarang sekatan pada hari ini adalah antara ‘grand design’ kuasa asing untuk merosakkan perpaduan umat Islam, menimbulkan huru hara dalam masyarakat Islam, sekali gus mereka menguasai negara ini. Apa pendapat saudara?
J:  Ya, memang tidak mustahil gerakan itu ada untuk melemahkan Islam di Malaysia, sekali gus meruntuhkan kerajaan yang sah yang wujud dan berkuasa pada hari ini. Sejarah sudah membuktikan, banyak negara Islam mengalami keruntuhan disebabkan perpecahan umat Islam yang berpunca daripada pengaruh Syiah dengan bantuan kuasa asing.
Kalau kita lihat sejarah kejatuhan Empayar Abbasiyyah pada 656 Hijrah kepada Hulagu Khan, ia berpunca daripada pembelotan dilakukan pemimpin Syiah bertaraf menteri iaitu Mu’yyiduddin Muhammad Ibnul Alqamy. Maka dalam hal ini, tidak mustahil kuasa asing menggunakan Syiah untuk melemahkan negara ini. Kuasa asing ini tahu selagi Ahli Sunnah Wal Jamaah wujud di Malaysia, mereka tidak dapat melemahkan kerajaan dan umat Islam. Justeru, mereka merosakkan Islam dari dalam dengan memasukkan fahaman Syiah ke dalam masyarakat.
Fahaman Syiah juga berbahaya kepada negara lebih-lebih lagi yang diperintah Ahli Sunnah. Orang Syiah tidak akan menerima atau tunduk dengan kerajaan yang pemimpinnya Ahli Sunnah. Sebab itu ada beberapa individu penganut Syiah di negara ini menulis dalam laman sosial yang mereka kecewa tidak berlaku huru-hara, kerosakan harta benda dan keganasan dalam perhimpunan Blackout 505.
Berita Harian 28 Julai 2013
Muka surat 34 dan 35